KELANTAN gagal mara suku akhir Piala Malaysia.
KELANTAN gagal mara suku akhir Piala Malaysia.
Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Pengendali Kelantan Zahasmi Ismail kecewa selepas menamatkan kempen Piala Malaysia lebih awal berikutan kegagalan The Red Warriors (TRW) mara ke suku akhir biarpun membenam T-Team 3-1, malam kelmarin.

Enggan menyalahkan sesiapa atau mengaitkan sebarang permasalahan dalaman, pemangku ketua jurulatih berusia 47 tahun itu menyifatkan kegagalan Kelantan menempah tiket lebih kerana faktor nasib.

Bagi dirinya, semua pemain sudah menunjukkan komitmen tinggi serta semangat juang, namun nasib tidak begitu menyebelahi mereka.

Zahasmi berkata, beliau bagaimanapun berpuas hati kerana dapat mengekalkan maruah The Red Warriors (TRW) dalam kancah bola sepak negara sekalipun gagal ke suku akhir Piala Malaysia.

Katanya, biarpun kem Kelantan dilanda pelbagai masalah seperti pertukaran jurulatih dan pemain import musim ini, mereka masih layak mara ke final Piala FA.

“Walaupun baru memegang tampuk ketua jurulatih hampir empat bulan, saya tetap berpuas hati dengan komitmen diberikan pemain.

“Mereka sudah berusaha sedaya upaya menaikkan semula era kegemilangan Kelantan, namun apakan daya, kami terpaksa melupakan kempen Piala Malaysia ini lebih awal,” katanya.

Musim ini dianggap aksi ‘terburuk’ buat bekas gergasi Pantai Timur itu sekali gus mengulangi sejarah 2007 apabila Kelantan gagal layak ke suku akhir.

Ketika ditanya mengenai status beberapa pemain utama yang dikatakan bakal beralih angin ke pasukan lain musim depan, Zahasmi berkata, beliau langsung tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.

“Saya tidak boleh halang mereka untuk berpindah, namun, saya harap pihak pengurusan dapat mengekalkan mereka, sekurang-kurangnya untuk semusim lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 1:52 PM