MOHD Arif ketika sesi pemilihan.
MOHD Arif ketika sesi pemilihan.

Kuala Lumpur: Puas hati dalam kecewa. Itu pandangan Mohd Arif Latif mengenai Ujian Pemilihan ke Piala Sudirman 2015 yang berlangsung semalam dan hari ini di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Arif yang sebelum ini bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui sistem pemilihan dengan memanggil semua pemain perseorangan memang tepat cuma pembahagian kumpulan tidak seimbang.

“Ujian pemilihan adil cuma pembahagian pemain dalam kumpulan saja tetapi saya tidak kisah. Kalau hendak diikutkan Chong Wei Feng pilihan pertama saya kedua tetapi kami berada dalam satu kumpulan (Kumpulan A),” katanya.

Selain Arif turut berada dalam kumpulan sama, R Satheishtharan dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Bagaimanapun, Arif tidak berdepan masalah menumpaskan Sathieshtharan 21-12, 21-17 dan Iskandar Zulkarnain 21-14, 21-19, sebelum berdepan Wei Feng hari ini untuk menjadi juara kumpulan seterusnya berpeluang dipilih dalam skuad Piala Sudirman negara.

“Peluang masih 50-50. Saya akan cuba yang terbaik kerana tahun ini saya pernah mengalahkan Wei feng di GP Emas Malaysia Masters di Kuching, Januari lalu.

“Saya kini gembira bernaung dengan dengan kelab baru (Akademi Sport Affairs), ketua jurulatih baru (Rashid Sidek) dan dapat angin baru. Saya juga bersemangat ketika berlatih kerana ada program latihan baru, ” katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen tidak berjanji memberikan slot automatik kepada pemain yang cemerlang di ujian pemilihan untuk mewakili negara ke Sukan SEA 2015 Singapura dan Piala Sudirman.

“Bukan ini saja ujian pemilihan yang akan saya buat. Ia sebahagian kriteria dan fasa perlu dilalui pemain untuk beraksi di kedua-dua kejohanan itu,” kata Frost.

Tambahnya, seramai 14 pemain perseorangan lelaki yang menjalani ujian pemilihan ini termasuk dua pemain bebas Arif dan Tan Chun Seang, manakala perseorangan wanita pula membabitkan tujuh pemain termasuk Sannatasah Saniru (pemain bebas).

Pemain perseorangan lelaki lain yang terbabit dalam ujian pemilihan ini ialah Liew Daren, Goh Soon Huat, Cheam June Wei, Soo Teck Zhi, Nur Azriyn Ayob, Chong Yee Han, Soong Joo Ven, Lim Chi Wing dan Tan Kian Meng.

Bagi perseorangan wanita pula selain Sannatasah ialah Lim Yin Fun, Goh Jin Wei, Lee Zii Yii, Ho Yen Mei, Tee Jing Yi dan Lim Chiew Sien.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 8:08 AM