AKSI Psy dalam video muzik Gangnam Style.
AKSI Psy dalam video muzik Gangnam Style.

Seoul: Selepas berjaya meraih populariti yang luar biasa melalui lagu Gangnam Style, penyanyi terkenal Korea Selatan, Psy bakal mengeluarkan album pertama dalam tempoh lebih tiga tahun, kata syarikat pengurusannya semalam.

Populariti penyanyi berusia 37 tahun itu mula melonjak di seluruh dunia pada 2012 selepas muzik video Gangnam Style dengan tarian ala menunggang kuda menjadi viral.

Sehingga kini, ia masih menjadi video yang paling banyak ditonton di YouTube dengan lebih 2.4 bilion tontonan.

Bagaimanapun, dua lagu single yang dikeluarkan selepas itu, Gentleman pada April 2013 dan Hangover dengan kerjasama penyanyi rap Amerika Syarikat, Snoop Dogg pada Jun 2014 kurang mendapat sambutan.

Menurut YG Entertainment dalam satu kenyataan, Psy akan mengeluarkan album terbaru pada 1 Disember ini, yang pertama sejak Julai 2012.

“Tahun lalu, Psy memberitahu dia akan kembali ke asal dan muncul dengan album baru. Semua tidak sabar menantinya,” kata kenyataan itu.

Psy menyepi sejak setahun yang lalu kerana sibuk dengan album ketujuhnya sejak karier muziknya bermula pada 2001. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 6:47 AM