AZDY menunjukkan tong berisi diesel yang berjaya dirampas. FOTO Hazsyah Abdul Rahman.
AZDY menunjukkan tong berisi diesel yang berjaya dirampas. FOTO Hazsyah Abdul Rahman.
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Seorang lelaki tempatan berdepan denda RM1 juta selepas diberkas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan kerana dipercayai terbabit kegiatan menyeleweng minyak diesel bersubsidi, dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Pekan Beluran, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, suspek berusia dalam lingkungan 50 tahun itu diberkas ketika sedang leka mengisi minyak diesel subsidi di stesen minyak terbabit.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John @ Azdy Zukkry Abdullah berkata, serbuan berkenaan dijalankan enam anggota selepas menjalankan risikan selama 72 jam.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, terdapati dua buah lori berisi tong di stesen minyak terbabit.

"Suspek lelaki berkenaan yang sedang mengisi minyak ke dalam tong di salah sebuah lori di situ kemudiannya diperiksa.

"Pemeriksaan mendapati, lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran memiliki atau menyimpan diesel subsidi terbabit.

"Susulan itu suspek ditahan. Manakala seorang lagi suspek disyaki melarikan diri lebih awal selepas menyedari kehadiran kami," katanya dalam satu kenyataan media, di Sandakan, hari ini.

Azdy berkata, siasatan awal mendapati diesel sebanyak 6,660 liter itu diseleweng untuk dijual kepada ladang-ladang kelapa sawit di daerah berkenaan.

"Kita percaya diesel ini diseleweng untuk dijual kepada pihak industri kerana minyak diesel industri lebih mahal berbanding minyak subsidi.

"Minyak diesel industri dijual pada harga RM4.60 seliter dan kira-kira dua kali ganda berbanding harga minyak subsidi.

"Malah, ketika ditahan, lelaki itu mengakui sudah membuat tiga penghantaran minyak diesel pada hari sama sebelum diberkas," katanya.

Menurutnya, susulan itu, minyak diesel dan lori bernilai RM110,019 dirampas dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 5:28 PM