Zabidi (tiga dari kanan) menunjukkan senapang patah dirampas daripada tiga warga asing di kawasan berhampiran tapak pasar Kampung Gomantong Jaya, Batu 4 Sandakan, semalam. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Zabidi (tiga dari kanan) menunjukkan senapang patah dirampas daripada tiga warga asing di kawasan berhampiran tapak pasar Kampung Gomantong Jaya, Batu 4 Sandakan, semalam. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Polis menahan tiga lelaki warganegara Filipina selepas pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki mereka menemui selaras senapang patah, dua butir peluru dan sebilah pedang samurai berhampiran tapak pasar tamu Kampung Gomantong Jaya, Batu 4, di sini, semalam.

Mereka yang berusia 32 hingga 44 tahun itu ditahan pada 10.36 malam.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, polis yang melakukan rondaan mengesan kereta dalam keadaan mencurigakan berhampiran tapak pasar berkenaan.

"Sebaik dihampiri dan mengarahkan pemandu serta penumpang keluar untuk pemeriksaan, polis menemui senapang patah, peluru dan pedang samurai di dalam kenderaan.

"Ketiga-tiga suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Bandar Sandakan untuk siasatan lanjut kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, di sini, hari ini.

Zabidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 3:46 PM