IDENTITI mangsa yang maut belum dikenalpasti.
IDENTITI mangsa yang maut belum dikenalpasti.
Oleh Junaidi Ladjana

 

Sandakan: Seorang maut manakala 12 individu tanpa dokumen pengenalan diri diselamatkan pasukan keselamatan dalam kejadian di perairan Tanjung Pasir Pulau Berhala, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, identiti mangsa yang maut belum dikenal pasti manakala 12 individu yang lain di bawa ke Balai Polis Sandakan untuk siasatan lanjut.

Menurut sumber, pasukan keselamatan sedang melakukan rondaan berhampiran lokasi kejadian dan melihat bot dari arah Pulau Taganak, dekat sini, dalam keadaan mencurigakan lalu mengarahkan bot berkenaan berhenti.

"Bagaimanapun bot terbabit memecut laju menyebabkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan amaran tetapi bot itu tidak berhenti menyebabkan pasukan keselamatan melepaskan satu das tembakan sambil mengejar bot berkenaan," katanya.

Sumber berkata, tidak lama kemudian jurumudi bot dipercayai hilang kawalan lau terbalik menyebabkan 12 orang terjatuh ke dalam laut sebelum pasukan keselamatan menyelamatkan mereka.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki di tertiarap di atas bot terbabit dengan kecederaan di belakang badan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa bersama 12 individu lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Zabidi Md Zain ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 11:52 AM