ERRA Fazira. FOTO Rohanis Shukri.
ERRA Fazira. FOTO Rohanis Shukri.
Sudirman Mohd Tahir


Ketika bergerak solo, Erra Fazira mengurus sendiri kerjayanya mengikut keselesaan dan kemampuan diri.

Namun, selepas mengambil keputusan menyertai syarikat pengurusan Mind Order Sdn Bhd, jadual kerja Erra, 44, semakin sibuk.

Erra berkata, sepanjang tahun ini dia sibuk dengan penggambaran dan beberapa komitmen lain sekali gus memberi isyarat kembali aktif dalam bidang lakonan.

“Sebelum ini saya masih berlakon, tetapi tidak sibuk seperti sekarang. Nampaknya tahun ini tahun aktif saya. Alhamdulillah, ini adalah rezeki. Pada masa sama, keputusan menyertai syarikat pengurusan adalah tepat. Mereka mengatur kerjaya saya dengan bagus sekali.

“Sebelum ini saya buat sendiri, jadi bekerja ikut keselesaan. Kali ini apabila di bawah pengurusan ada pihak yang ‘push’. Saya okey dan tidak ada masalah,” katanya.

Menurut Erra, tidak ada istilah dia perlu berehat atau memperlahankan kerjaya seni kerana baginya itu adalah minat.

Disebabkan itu, pada usia sekarang Erra tidak kisah untuk terus berlakon asal khidmatnya masih diperlukan dalam industri hiburan.

“Apabila bercakap soal kerja, kita tidak ada pilihan. Kebetulan kerja saya dalam bidang seni, jadi nampak macam bekerja sekadar suka-suka. Sedangkan hakikat sebenar ia satu pekerjaan serius. Soal penat atau tidak, kita kena terima.

“Lagipun, ini antara sumber rezeki. Apabila bercakap soal rezeki, kita tidak boleh mengeluh penat atau sebagainya. Namun, pendirian saya masih sama seperti dulu iaitu tetap ada waktu untuk berehat dan bukannya kerja 24 jam sehari serta tujuh hari seminggu,” katanya.

Erra berkata, kesibukan itu bagaimanapun tidak mengurangkan sikit pun masa bersama anak tunggalnya, Engku Aleesya.

“Masa untuk anak tetap ada. Jadi, saya tidak rasa macam yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Alhamdulillah, saya tetap dengan masa saya. Kalau dengan anak, saya memang tak nak diganggu,” katanya.

ERRA Fazira. FOTO Rohanis Shukri.
ERRA Fazira. FOTO Rohanis Shukri.

Masih dengan Shahir

Bercakap mengenai hubungannya dengan penyanyi Shahir, Erra tidak berganjak daripada jawapan sebelumnya iaitu mereka masih menjalani kehidupan seperti biasa.

“Saya masih menjalani kehidupan seperti biasa. Tidak ada perkembangan terbaru melainkan soal kerjaya. Jangan dengar cakap-cakap orang mengenai apa saja spekulasi.

“Seperti selalu dikatakan, kalau ada khabar gembira mengenai perkara ini saya akan kongsikan kepada semua. Saya faham tugas rakan media yang ada bersama saya dari dulu sampai sekarang,” katanya.

Erra juga menegaskan dia tidak akan merahsiakan berita perkahwinannya daripada media dan peminat.

“Sebaik-baiknya tunggu berita sahih ini daripada saya sendiri. Jangan percaya cakap-cakap orang atau dengar gosip yang disebarkan.

“Saya takkan kahwin senyap-senyap. Doakan saja yang terbaik buat saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Erra baru terbabit dalam drama bersiri Mak Cun 4 yang bermula minggu ini di TV3.

Menariknya, Erra berganding semula dengan Datuk Awie dan rakan baiknya, Ziana Zain.

“Memang seronok dapat berkumpul semula dengan rakan dalam satu drama. Cuma, watak saya banyak dengan Awie. Kami melakonkan watak sebagai orang Negeri Sembilan, manakala Ziana menjadi orang Kedah.

“Pemilihan kami juga tidak ada kaitan dengan filem Sembilu. Siri Mak Cun kali ini berbeza sama sekali terutama jalan cerita. Saya terima tawaran ini pun sebab artis jemputan dalam kalangan rakan selain penerbitnya Erma Fatimah,” katanya.

Selain itu, Erra juga bakal terbabit dalam drama Dian yang bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 8:40 AM