Oleh Ramlah Zainal


Bukan untuk mengelirukan fakta sejarah, sebaliknya pengarah dan penerbit berkaliber, Erma Fatima menghasilkan karya genre epik berlatarkan zaman kesultanan Melayu Melaka kurun ke-15 berjudul Takhta 3 Ratu dari sudut pandangannya sendiri sebagai karyawan seni.

Bagi pengarah yang pernah mencetuskan kontroversi ini, sebagai pembikin seni, dia juga bebas untuk berkarya sama seperti karyawan lain dalam bidang seni tanah air.

"Naskhah Takhta 3 Ratu ini adalah fiksyen yang digarap berlatarbelakangkan sejarah dan menyelusuri kisah tiga ratu kepada Sultan Mansur Syah.

"Ia juga membawa penonton untuk menyelami jiwa dan naluri wanita bangsawan dalam hidup Sultan Mansur Syah iaitu iaitu Puteri Hang Li Po, puteri kepada Maharaja Dewa Sura (Inderapura) iaitu Lela Wangsa dan Puteri Majapahit Galuh Chenderai Kirana. Lebih menarik, ia turut memaparkan pergolakan serta konflik perebutan takhta dan cinta," katanya.

Bagaimanapun, kata Erma, dia tidak berdepan cabaran besar untuk mengarahkan naskhah berkenaan.

"Terus terang, saya memang meminati cerita epik dan tidak ingin melepaskan peluang keemasan bila ditawarkan buat cerita ini walaupun ia hanya supertelefilem dan bukan layar lebar.Versi supertelefilem juga memiliki pendekatan berbeza berbanding versi teater.

"Kalau ada pun cabaran yang dihadapi ialah untuk menyusun jadual barisan pelakon hebat yang juga nama besar dalam kedua-dua versi iaitu supertelefilem dan pentas teater.

"Apa yang penting, saya mendapat komitmen yang sangat bagus daripada barisan kru produksi dan pelakon ternama terbabit dan melancarkan kerja sepanjang penggambaran," katanya.

Erma ditemui di majlis pratonton supertelefefilem Takhta 3 Ratu yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani. Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai isu kemban dalam naskhah Takhta 3 Ratu yang pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini, Erma enggan mengulas lanjut.

"Saya sangat berharap isu kemban dalam naskhah Takhta 3 Ratu tidak dibangkitkan lagi oleh semua pihak. Ada banyak lagi mesej yang tersirat dan ingin disampaikan kepada masyarakat dalam naskhah ini berbanding isu kemban itu," katanya.

Versi supertelefilem yang berdurasi 2 setengah jam ini membabitkan penggambaran sekitar Taman Botani Negara, Shah Alam, Taman Mini Malaysia dan ASEAN Melaka, The Banjaran di Ipoh dan Jogjakarta, Indonesia. Barisan pelakon telefilem Takhta 3 Ratu adalah Azri Iskandar (Sultan Mansur Syah), Erra Fazira (Lela Wangsa), Hang Li Po (Soo Wincci), pelakon Indonesia, Feby Febiola (Galuh Chenderai Kirana). Selain itu, Awie (Hang Tuah), Beto Kusyairy (Hang Jebat), Datuk Rahim Razali (Tun Perak), Ellie Suriaty (Mbak Kuriang) dan Meor Hashim Manap (Abbi Andri).

Barisan pelakon pembantu yang mewarnai naskhah ini ialah Aqasha (Chakrapadee), Benjy (Hang Nadim), Azman Jantan (Sri Nara Di Raja), Wong Sip Nen (Cheng Ho), Kaza (Datuk Malim Tempang), Datuk Ahmad Tamimi Siregar (Dewa Sura), Ruminah Sidek (Bonda Dewa Sura) dan Puteri Balqis (Pue).

Supertelefilem Takhta 3 Ratu yang membabitkan sebanyak enam episod ini bakal bersiaran di saluran Astro First Eksklusif mulai 25 Disember nanti.

Manakala versi teater pula dipentaskan lebih awal di Panggung Sari, Istana Budaya dari 13 hingga 22 Disember nanti. Dalam versi teater watak Galuh Chenderai Kirana dilakonkan pelakon Izreen Azminda.

Takhta 3 Ratu adalah projek teater yang menggabungkan tiga produksi iaitu Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd, Erra Fazira Entertainment dan Awie Entertainment.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:01 AM