SARAT dengan kit badan ditempah.
SARAT dengan kit badan ditempah.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Kebiasaannya tema pelumba Moto GP, Valentino Rossi, sering dilihat pada motosikal tetapi seorang peminat tegar watak The Doctor mengabadikan tema idolanya pada jentera Saga BLM.

Lebih unik jentera terbabit yang menelan kos modifikasi lebih RM80,000 memiliki reka bentuk unik dan berbeza berbanding asal. Malah dikhabarkan di Malaysia hanya sebuah jentera modifikasi bertemakan The Doctor.

Nasir Mat Zain, 35, yang juga menggilai motosikal dan sering menyertai pertandingan motosikal berhias, mula mengubah minat menghiasi kereta sejurus membeli kenderaan itu beberapa tahun lalu.

Namun fanatiknya terhadap pelumba Itali berkenaan dikekalkan pada jentera miliknya apabila keseluruhan luaran dan dalaman dihias dengan pelekat tema yang dibuat di Monster Sticker di Johor.

Jentera keluaran 2007 yang bernadikan enjin asal bersesaran 1300 cc itu sengaja diberikan penampilan istimewa apabila kit badan khas yang ditempah dipasang pada keretanya.

Selain itu, empat dapra gah turut dipasang bagi memperlihatkan jentera dalam keadaan besar dan lebar selain memuatkan rim Ice 18 inci buatan Jepun.

Tampil lebih garang dua pintu hadapan diubah suai umpama pintu Lamborgini atau dikenali sebagai pintu kacip yang dikawal alat kawalan jauh.

Selain itu, ruangan enjin tampil lebih kemas dan bersih apabila pelbagai aksesori ditambah serta kepingan chrome diubah suai dan ditambah di beberapa bahagian enjin termasuk sarung bateri serta lapik bawah bonet hadapan.

Namun penulis amat tertarik dengan jentera ini apabila bukan sahaja luaran dan dalaman yang menawan, malah jentera dilaraskan tahap rendahnya berikutan pemilik menukar sistem penyerap hentak asal kepada sistem suspensi udara buatan Jepun yang membolehkan pemilik merendah dan meninggikan jentera mengikut cita rasa dengan kawalan elektronik.

Untuk sistem audio pula, pemilik memberi kepercayaan penuh pada pemain cakera jenama Pioneer yang dihubungkan dengan dua power amplifier dua dan empat saluran jenama Swiss Line yang masing-masing berkekuatan 1500 watt.

Untuk bunyi yang padat, sekali lagi pemilik mempercayai audio buatan Switzerland itu apabila dua woofer bersaiz 12 inci dan berkuasa 1000 watt setiap satu dipasang di dalam but jenteranya.

Bagi memberi kepuasan bunyi, enam set sub-woofer jenama sama bersaiz 6 inci dipasang dengan empat daripadanya ditempatkan di bahagian atas but jenteranya itu.

Pemilik juga memasang enam skrin LCD bersaiz 3.5 inci iaitu empat dipasang di bahagian but manakala dua di pintu belakang setiap satu jentera berkenaan.

Bagi kos keseluruhan, mengubah suai jentera idaman itu, pemilik mengakui menghabiskan hampir RM80,000 dan ternyata ia berbaloi apabila kerap menarik tumpuan juri dan sering mengungguli pertandingan persembahan kereta auto di seluruh negara.

Difahamkan jentera ini membolot lebih 50 kejuaraan khas di tempat pertama sepanjang pembabitannya dalam dunia permotoran.

INFO

PROTON SAGA BLM

• Enjin asal: 1,300cc

• Kit badan: Ditempah

• Dapra: Ditempah

• Pelekat badan: Tema The Doctor

• Sistem suspensi udara

• Roda Ice 18 inci

• Pintu kacip kawalan jauh

• Pemain cakera Pioneer

• 2 Amp Swiss Line 2&4 Hala 1,500 watt

• 2 Woofer 12 Inci Swiss Line 1,000 watt

• 6 Subwoofer 6 inci 500 watt

• 6 Skrin LCD 3.5 inci

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 1:13 AM