FAHMI (kiri) bersama kru pasukan bersiar-siar di Litar Sepang.
FAHMI (kiri) bersama kru pasukan bersiar-siar di Litar Sepang.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Sepang: Sasaran lima terbaik menjelang perlumbaan kategori Moto3 Ahad ini mungkin menjadi hadiah terakhir Zulfahmi Khairuddin buat peminatnya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila berkemungkinan besar bakal meninggalkan Kejuaraan MotoGP musim depan.

Menurut pelumba kelahiran Banting itu, dia sangat mengharapkan perlumbaan berjalan lancar hujung minggu ini walaupun keadaan berjerebu kerana mungkin ini penampilan terakhirnya dalam saingan Kejuaraan MotoGP.

“Sebenarnya saya tidak boleh cakap apa-apa lagi mengenai perancangan musim depan. Tapi saya sudah membuat perbincangan awal dengan beberapa pihak untuk beraksi dalam kejuaraan lain,” katanya ketika ditemui semalam.

Pelumba berusia 24 tahun itu berkata, dia akan membuat pengumuman dalam masa terdekat mengenai masa depannya dan berkemungkinan besar bukan lagi di Kejuaraan MotoGP.

“Saya yakin tidak akan ke JPMoto Racing (Moto2). Saya tetap akan berlumba tapi di tempat lain, berkemungkinan bukan Kejuaraan MotoGP.

“Setakat ini pasukan saya (Drive M7 SIC) sudah menyediakan jentera dengan baik sekali apabila menunjukkan peningkatan prestasi dalam lima perlumbaan terakhir. Apapun paling penting hujung minggu ini saya dapat menikmati perlumbaan di litar ini dengan tenang.

“Saya cuba untuk membuang segala tekanan sebelum memasuki litar kerana mahu menikmati perlumbaan ini. Ini perlumbaan Moto3 terakhir saya di Sepang,” kata Zulfahmi.

Dalam masa sama, Zulfahmi mendedahkan memang terdapat beberapa masalah pada awal musim ini sehingga memaksa pasukannya melakukan sedikit pertukaran struktur termasuk membabitkan ketua krew jenteranya.

“Bermula dari Grand Prix Aragon kami ada buat sedikit pertukaran termasuk menyingkirkan ketua krew dan saya menggunakan orang sama (ketua krew) dengan rakan sepasukan, Jakub Kornfeil. Bermula dari situ penyediaan jentera saya bertambah baik.

“Sebelum ini ketua krew yang lama banyak menyalahkan cara tunggangan saya. Hakikat sebenarnya jentera saya yang tidak berada dalam keadaan baik. Saya pula ketika itu kurang pasti sama ada jentera tidak bagus atau memang cara tunggangan tidak betul,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan berkenaan sudah terlambat, Zulfahmi mengakui lebih baik dari lambat daripada tidak melakukan sebarang perubahan.

“Selepas itu, tiga perlumbaan menjelang Grand Prix Malaysia, semuanya sangat positif. Jadi saya yakin untuk menduduki lima tempat teratas Ahad ini. Jika kita berlumba dalam keadaan tenang dan gembira, tunggangan pasti akan menjadi lebih laju, semua pelumba juga mengakui perkara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 8:38 AM