PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah tarik minat peminat sukan permotoran dua roda. - Foto Zunnur Al Shafiq
PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah tarik minat peminat sukan permotoran dua roda. - Foto Zunnur Al Shafiq
Oleh Sukhairi Thani


PELUMBA Moto2 negara, Zulfahmi Khairuddin menyifatkan sukan permotoran dua roda di rantau Asia Tenggara semakin menunjukkan perkembangan positif apatah lagi dengan penyertaan Thailand selaku tuan rumah Pusingan 15, Oktober ini.

Malah, pembabitan Hafizh Syahrin Abdullah dalam kelas perdana MotoGP bersama pasukan Monster Yamaha Tech3, musim ini turut menjadi faktor penyumbang kepada perkembangan berkenaan.

"Saya gembira kerana ada perlumbaan di Thailand kerana rata-rata di dunia, ramai yang menunggang motosikal dan meminati perlumbaan motosikal.

"Bagi saya, ia amat penting untuk menganjurkan MotoGP terutamanya di Malaysia kerana sukan ini menyatukan orang ramai," katanya dalam video yang dimuat naik di laman web rasmi MotoGP, baru-baru ini.

Kempen 2018 dijadual membuka tirainya di Grand Prix (GP) Qatar, minggu ini dengan Litar Antarabangsa Buriram di Thailand buat kali pertamanya mengisi salah satu slot daripada 19 pusingan bagi musim kali ini.

Zulfahmi, 26, pernah menaiki podium ketika beraksi dalam kelas Moto3 di GP Malaysia dan Valencia pada 2012 dan menurutnya, sokongan padu kerajaan mahupun penaja turut membantu perkembangan sukan berkenaan di negara ini.

"Di Malaysia, kami bertuah kerana mendapat sokongan kerajaan dan bagi menjadikan sukan permotoran ini menjadi lebih besar, saya harap dapat mengulangi pencapaian baik di Sepang tahun ini," kata pelumba SIC Racing itu.

Selain Zulfahmi, cabaran negara dalam Kejuaraan Motosikal Dunia kali ini turut digalas Hafizh dalam kelas MotoGP, Khairul Idham Pawi (Moto2) dan Adam Norrodin (Moto3) sekali gus bakal menarik lebih ramai peminat.

Ditanya sama ada dia merasai sebarang tekanan, Zulfahmi berkata: "Sebagai rakyat Malaysia, saya akan menyokong pelumba lain, tidak kira apa keputusannya. Pada masa ini, semua tumpukan ke arah Hafizh kerana beraksi di MotoGP.

"Namun, saya masih merasai tekanan daripada bos dan penaja. Jika mahu yang terbaik, saya memerlukan tekanan. Saya harap boleh mengekalkan momentum dan pantas belajar jentera Moto2 ini.

"Saya yakin dengan krew yang bagus, kami mampu menghadapi musim ini dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 9:08 PM