LIMA peserta yang layak untuk sesi pemilihan Impian ke Moto GP bersama Zulfahmi Khairuddin di Litar Go Kart Sepang. Foto MAHZIR MAT ISA
LIMA peserta yang layak untuk sesi pemilihan Impian ke Moto GP bersama Zulfahmi Khairuddin di Litar Go Kart Sepang. Foto MAHZIR MAT ISA
Firdaus Hashim


PROGRAM ‘Impian ke MotoGP’ yang dikendalikan bekas pelumba Moto3 dan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Zulfahmi Khairuddin mencapai misi yang dihajatkan apabila berjaya mengesan lima pelumba muda berbakat yang boleh diketengahkan.

Zulfahmi yang dilantik selaku mentor dalam program dua hari di Litar Go-Kart Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, mengakui cukup kagum dengan kebolehan yang ada pada lima pelumba itu apabila menyifatkan mereka aset masa depan sukan permotoran negara.

Tiga daripada lima pelumba terpilih berusia 16 tahun iaitu Muhammad Idil Fitri, Muhammad Izam Ikmal dan Mohd Danial Syahmi manakala Danial El Fahim (15) dan Muhammad Harith Haziq (14).

“Saya kagum melihat aksi mereka yang saya anggap memiliki potensi besar dalam sukan ini,” katanya yang bakal melatih mereka untuk bersaing di tiga kejohanan terbesar iaitu di Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia (CEV), Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan seterusnya MotoGP.

“Bagaimanapun, masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki. Saya yakin dengan usaha bersungguh-sungguh pelumba dan juga kerjasama SIC, tidak mustahil kita mampu lahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia,” katanya.

Ketika ini SIC Racing Team hanya mempunyai tiga pelumba yang beraksi dalam MotoGP iaitu Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi dalam Moto2, Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki (Moto3).

Lima pelumba ini akan mula menjalani latihan, Jumaat depan selama sebulan lebih sebelum dua yang terbaik akan dipilih untuk berlumba di peringkat CEV di Eropah, pada Mac depan dengan tiga lagi akan bersaing di CubPrix.

Sementara itu, Harith mengakui terkejut apabila namanya diumumkan dalam kelompok lima terakhir itu.

“Bukan senang nak dapat. Daripada 300 pelumba dan kemudiannya dikecilkan kepada 26 terbaik akhirnya saya yang dapat.

“Saya akan lakukan terbaik dan berazam untuk menjadi seperti idola saya, Hafizh Syahrin berlumba di Moto2,” katanya yang berasal dari Jengka, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 7:52 PM