Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali berharap peluang kedua diberikan kepada Zulfahmi Khairuddin dengan beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya pelumba itu untuk kembali beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Jelas Razlan, Zulfahmi yang akan beraksi bersama pasukan Orelac Racing dalam kategori SuperSport tahun ini, tidak boleh leka dengan terus mempamerkan prestasi hambar.

“Ini peluang untuknya kembali kepada prestasi sebenar selepas mempamer aksi hambar pada dua musim terakhir di Moto3.

“Jika dia dapat beraksi dengan baik, peluang untuknya kembali ke MotoGP kembali cerah terutamanya dalam kelas Moto2.

“WSBK sebenarnya batu loncatan untuknya untuk beraksi di Moto2 jika dia pandai memanfaatkan peluang yang diberikan,” katanya pada sidang media malam tadi.

Zulfahmi akan bersama rakan sepasukan Nacho Calero dalam pasukan yang berpangkalan di Sepanyol.

Sementara itu, Zulfahmi mengaku dia perlu memanfaatkan peluang beraksi di WSBK selepas enam musim beraksi dalam kategori Moto3 di MotoGP.

“Saya sedar segala-galanya agak baru untuk saya. Tapi saya perlu ambil cabaran baru ini.

“Terima kasih kepada SIC yang tidak pernah jemu memberi peluang untuk saya meneruskan karier,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 9:52 AM