RAZLAN sedia cari bakat baru  mengembangkan potensi pelumba negara dalam arena MotoGP.
RAZLAN sedia cari bakat baru mengembangkan potensi pelumba negara dalam arena MotoGP.
Haika Khazi

LITAR Antarabangsa Sepang(SIC) bakal mengadakan program uji bakat khas ala ‘American Idol’ tidak lama lagi bagi mengenal pasti pelumba motosikal muda yang berpotensi untuk diangkat menjadi pelumba MotoGP, pada masa depan.

Berikutan itu, SIC akan mengeluarkan iklan menerusi media massa dalam masa terdekat bagi menjemput semua pelumba berpotensi berusia antara 13 hingga 15 tahun dari seluruh negara untuk menghadiri sesi temu duga dan uji bakat yang bakal diadakan pada awal Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, setiap pelumba yang mahu menyertai sesi uji bakat berkenaan perlu memenuhi kriteria ketat termasuk mempunyai pengalaman berlumba sama ada di peringkat CubPrix, Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC), Malaysian Super Series (MSS) atau mana-mana kejuaraan tempatan selain memiliki bentuk fizikal dan mental yang sempurna.

“Jika selepas iklan nanti ada 500 orang yang datang, maka kita akan teliti setiap borang penyertaan untuk memilih 40 sahaja untuk menghadiri sesi uji bakat yang akan di senarai pendek untuk ke peringkat terakhir untuk menunggang jentera Kawasaki 250SL di Litar Go-Kart SIC bagi mengenal pasti sekurang-kurangnya 4 hingga 5 pelumba terbaik.

“SIC bukan mahu mencari pelumba terpantas tetapi kita mahu kenal pasti pelumba yang mempunyai pakej lengkap dan kemahuan tinggi untuk dididik beraksi ke peringkat lebih tinggi sehingga ke MotoGP.

“Pelumba-pelumba yang terpilih bakal mengikuti satu program intensif yang bakal dikendalikan oleh pelumba berpengalaman seperti Zulfahmi Khairuddin dan akan menggunakan jentera Kawasaki 250SL atau tujuh jentera Moto3 MSS yang sudah dibangunkan oleh SIC, sebelum ini,” katanya ketika ditemui wartawan Sukan NSTP di sini, sebentar tadi.

Ketika ini SIC Racing Team hanya mempunyai tiga pelumba yang beraksi di MotoGP iaitu Hafizh Syahrin Abdullah (Moto2), Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki (Moto3)

Razlan berkata, pelumba muda berkenaan akan menjalani banyak ujian saringan selama lebih sebulan sebelum Zulfahmi akan memilih dua daripadanya untuk berlumba di peringkat CEV di Eropah, mulai Mac 2018.

“Kita mempunyai sasaran dan mereka akan berlumba sebanyak mungkin selama dua tahun di peringkat CEV dan kejuaran lain seperti ARRC sebelum diangkat ke Moto3 atau Moto2 jika mereka menunjukkan prestasi yang cemerlang menjelang 2020 nanti,” katanya.

Tambahnya, penganjuran program realiti terbabit perlu untuk mencari pelumba pelapis berbakat dan berpotensi untuk bersaing di CEV, Moto3 dan, Moto2 dan seterusnya MotoGP.

“Sebenarnya kita sudah mempunyai infrastruktur dan membina dua jentera untuk memboleh anak muda kita berlumba di peringkat CEV namun siapakah pelumba yang akan menunggangnya?

“Sekarang ini kita harus cari pelumba Malaysia berbakat dan mempunyai kemahuan untuk maju dan memperbaiki prestasinya seperti pelumba Hafizh Syahrin dan Adam Norrodin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 12:42 AM