Kuala Lumpur: Pelumba berpengalaman negara Zulfahmi Khairuddin (gambar) mengesahkan akan meninggalkan perlumbaan kategori Moto3 pada saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) untuk beralih angin ke kelas Moto2 musim depan.

Mendedahkan kali pertama mengenai perancangan musim depan itu, Zulfahmi berkata, sudah tiba masanya dia bertukar haluan ke kelas lebih tinggi selepas terlalu lama beraksi di Moto3 sejak 2009.

Ketika ini katanya, perbincangan sedang dilakukan dengan beberapa pasukan dan antaranya pasukan dari Malaysia, JPMoto Racing Team.

“Saya yakin tidak akan berada dalam Moto3 lagi musim depan. Ketika ini, saya masih dalam perbincangan dengan beberapa pasukan dan yakin akan mengetahui keputusan muktamad dalam masa terdekat. Itu (JPMoto Racing Team) adalah antara pilihan yang saya ada,” katanya selepas majlis pelancaran Grand Prix Motosikal Malaysia semalam.

Jelas Zulfahmi, pasukannya ketika ini, SIC Racing Team pastinya akan mendapatkan khidmat pelumba lebih muda pada musim depan.

“Sebab itu saya yakin dan pasti tidak akan berada dalam SIC Racing Team lagi.

“Seperti saya katakan tadi, segala-galanya masih dalam perbincangan. Nampaknya positif dan saya akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali berkata, banyak aktiviti akan dilangsungkan sempena ulang tahun ke-25 penganjuran MotoGP.

Beliau turut mengumumkan kemungkinan besar peminat di negara ini akan sekali lagi dapat menyaksikan pembabitan pelumba negara dalam kategori wild card di kelas Moto3 pada saingan yang berlangsung di Sepang dari 23 hingga 25 Oktober depan.

“Tapi segala-galanya bergantung kepada prestasi pelumba itu pada saingan di Aragon,” katanya merujuk kepada pelumba muda berbakat negara, Khairul Idham Pawi yang akan membuat penampilan sulung dalam saingan Moto3 di Aragon, Sepanyol menerusi tiket wild card, pada 27 September.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 10:04 AM