BEBERAPA penduduk di Santa Rosa, wilayah Neuva Ecija di utara Manila, terpaksa memanjat bumbung rumah mereka selepas banjir melanda kawasan itu, semalam.
BEBERAPA penduduk di Santa Rosa, wilayah Neuva Ecija di utara Manila, terpaksa memanjat bumbung rumah mereka selepas banjir melanda kawasan itu, semalam.
PENDUDUK menolak sebuah beca berenjin di lebuh raya di Santa Rosa yang tenggelam akibat banjir.
PENDUDUK menolak sebuah beca berenjin di lebuh raya di Santa Rosa yang tenggelam akibat banjir.
Agensi

Santa Rosa: Penduduk di kampung yang dilanda banjir terperangkap di bumbung kediaman mereka semalam, sementara semakin banyak bangkai haiwan terapung di sungai ketika Taufan Koppu menyebabkan hujan lebat berterusan di Filipina, semalam.

Koppu, taufan kedua paling kuat melanda negara itu tahun ini, meragut sekurang-kurangya 16 nyawa dan menyebabkan lebih 60,000 orang berpindah.

Selepas melanda pantai timur Luzon, pulau terbesar Filipina, taufan berkenaan yang bergerak perlahan membawa hujan bersama-samanya di kawasan pertanian paling penting negara itu.

“Saya tidak pernah melihat kejadian seperti ini. Ia banjir paling buruk sepanjang hidup saya,” kata petani
Reynaldo Ramos, 68, kepada wartawan ketika dia meredah banjir setinggi paras lutut di Santa Rosa, utara Manila.

Tentera, pasukan penyelamat kerajaan dan sukarelawan yang menggunakan bot getah berusaha membantu penduduk di puluhan kampung, menurut pegawai penyelamat serantau Nigel Lontoc.

“Banjir naik mendadak dan sebahagian penduduk terperangkap di bumbung kediaman mereka,” kata Lontoc.

Menurutnya, pihaknya kekurangan penyelamat dan dia tidak pasti jumlah yang berjaya diselamatkan setakat ini.

“Ribuan penduduk terperangkap. Jumlahnya masih belum pasti,” katanya.

Pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya 16 orang mati akibat Koppu.

Jumlahnya mungkin lebih tinggi kerana keadaan di kampung yang paling teruk terjejas tidak diketahui.

Taufan Koppu dijangka menyebabkan hujan lebat di seluruh Filipina hingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 6:55 AM