Penduduk setempat menyelamatkan diri selepas kediaman mereka ditenggelami air di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand. - FOTO AP
Penduduk setempat menyelamatkan diri selepas kediaman mereka ditenggelami air di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand. - FOTO AP
AP

Bangkok: Air setinggi pinggang membanjiri beberapa kawasan kejiranan tepi sungai dan kawasan lain di Thailand pada Khamis selepas ribut tropika menyebabkan hujan lebat dan menumbangkan pokok, mengakibatkan sekurang-kurangnya satu kematian.

Hujan paling lebat, kira-kira 22 sentimeter dalam 24 jam, direkodkan di wilayah timur laut Ubon Ratchathani di mana lebih 5,000 orang dipindahkan ke tempat perlindungan di kawasan yang lebih tinggi.

Seorang dilaporkan terbunuh dan dua cedera akibat pokok tumbang di wilayah Sisaket.

Sisa-sisa Ribut Tropika Noru mara ke Thailand semalaman selepas melanda tengah Vietnam.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan serta-merta di Vietnam.

Di Thailand, lebih 10,000 isi rumah telah terjejas akibat banjir, menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana.

Pekerja penyelamat mengharungi air separas pinggang untuk mengagihkan bungkusan makanan dan penjagaan kepada orang yang terperangkap di dalam rumah mereka.

Di wilayah Nonthaburi, bersebelahan ibu kota Bangkok, limpahan dari Sungai Chao Phraya membanjiri beberapa kawasan kejiranan tepi sungai. Pegawai berkata lebih banyak beg pasir akan disediakan untuk membantu menahan air banjir.

Jabatan Meteorologi berkata Noru semakin lemah tetapi memberi amaran bahawa hujan monsun bermusim akan berterusan, dan memburukkan keadaan.

Ketika hujan terus turun, beberapa empangan dipenuhi air, menjejaskan tanah pertanian rendah dan komuniti di hilir.

Sebelum melanda Vietnam, Noru adalah taufan kuat yang menyebabkan lapan kematian di Filipina, termasuk lima penyelamat yang lemas ketika cuba menyelamatkan orang ramai daripada banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 6:27 PM