Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari. - Foto NSTP (Fail)
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari. - Foto NSTP (Fail)

Hulu Terengganu: Kementerian Komunikasi dan Multimedia sudah membuat kajian terperinci dan menyeluruh mengenai pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang dijangka dibentangkan pada persidangan Parlimen bermula 19 Oktober ini.

Timbalan Menterinya Datuk Jailani Johari berkata pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat kajian termasuk semakan semula akta itu sejak April lalu.

"Kita berjumpa dan berbincang dengan lebih 300 pengamal industri yang berdaftar dengan SKMM mengenai keperluan semasa akta itu.

“Akta ini dipinda pada 2008 dan dengan adanya perkembangan teknologi semasa, menjadi keperluan meminda akta ini terutama berkaitan media sosial, hukuman dan pada masa sama kita turut melihat aspek pembangunan," katanya selepas merasmikan Program Sambutan Bulan Pengguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Jailani berkata, pihaknya sudah membawa pindaan itu kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut dan berharap pindaan dapat dibentangkan pada persidangan kali ini.

“Pindaan akta ini tidak hanya tertumpu kepada media sosial, tetapi juga kesalahan dan hukuman kerana hukuman sekarang agak ringan dan penjara lebih kurang setahun hingga tiga tahun," katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 6:34 PM