BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerima tiga aduan berkaitan salah laku pengguna media sosial atau 'netizen' yang mensensasikan isu diplomatik hubungan Malaysia dan Korea Utara.

Timbalan Menterinya Datuk Jailani Johari berkata Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) sudah diarah menyiasat semua aduan itu termasuk akaun Facebook yang menyebarkan gambar yang disunting berkaitan isu berkenaan.

“Kita terima aduan dan sedang melakukan siasatan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Jailani juga mengingatkan orang ramai terutama pengguna laman sosial supaya tidak menjadi "batu api" dengan menularkan bahan yang boleh mengeruhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

“Sekarang kita tak mahu orang jadi macam 'nasi tambah' dalam isu ini... biarkan kerajaan dan pihak berkuasa uruskan.

"Jangan gunakan media sosial untuk tularkan benda bukan-bukan dan menimbulkan kemarahan ramai termasuk pihak Korea Utara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 8:24 PM