SKMM terima 416 aduan berhubung SMS berunsur perjudian antara 2015 hingga Mac lalu.
SKMM terima 416 aduan berhubung SMS berunsur perjudian antara 2015 hingga Mac lalu.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan syarikat telekomunikasi menamatkan perkhidmatan lebih 8,000 nombor telefon kerana menyebarkan SMS berunsur perjudian.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, SKMM juga menerima 416 aduan daripada orang awam berhubung SMS berunsur perjudian antara 2015 hingga Mac tahun ini.

"SKMM mengumpul maklumat daripada aduan awam itu, mengenal pasti nombor telefon berkaitan untuk sekatan dan memanjangkan maklumat berkaitan untuk siasatan lanjut polis,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Zali Mat Yasin yang meminta kementerian menyatakan sama ada SKMM mempunyai kaedah dan tindakan khusus mencegah atau mengambil tindakan penguatkuasaan secara efektif memerangi aktiviti perjudian dalam talian.

Jailani berkata kementerian bekerjasama erat dengan polis membanteras kegiatan judi dan penipuan dalam talian meliputi kerjasama pemantauan, pengesanan, perkongsian maklumat dan aspek forensik digital.

Antaranya, melaksanakan sekatan akses laman web yang menawarkan perkhidmatan berunsur perjudian dan sejak 2012 sehingga Mac 2016, sebanyak 664 laman web disekat aksesnya oleh SKMM berdasarkan permohonan bertulis daripada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 8:17 PM