Mesej palsu yang tular. FOTO ihsan pembaca
Mesej palsu yang tular. FOTO ihsan pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menafikan dakwaan mesin juruwang automatik (ATM) di seluruh negara akan ditutup selama dua hingga tiga hari berikutan serangan siber ransomware di India.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, mesej yang tular di aplikasi Whatsapp hari ini disahkan palsu hasil siasatan pihaknya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Hari ini kita mendapat satu mesej tular di aplikasi Whatsapp bahawa mesin ATM di seluruh negara akan berhenti beroperasi sementara waktu berikutan serangan siber ransomware di India.

"Mesej itu adalah palsu," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Asean@Yourfingertips 2017 yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Denai Larian Sungai Perlis di Kangar, hari ini.

Mesej terbabit meminta orang ramai mengeluarkan wang simpanan dari mesin ATM sekurang-kurangnya untuk bekalan seminggu, tidak melakukan transaksi atas talian atau menjawab panggilan video dikenali 'Tarian Hillary'.

Jailani berkata, orang ramai tidak perlu takut sehingga menjurus kepada penyebaran mesej berkenaan kepada orang lain.

"Sebagai masyarakat prihatin dan matang, jangan kita mudah cemas hingga menyebarkan sebarang maklumat tidak berasas sebegini.

"Sentiasa periksa kesahihannya dengan pihak berwajib dan KKMM untuk kepastian," katanya.

Mengulas lanjut serangan siber itu, Jailani berkata, orang ramai sentiasa berhati-hati termasuk tidak membuka apa-apa pautan yang mencurigakan selain membuat sokongan terhadap fail penting dan menggunakan antivirus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 9:28 PM