KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengenal pasti 172 laman web berkaitan judi haram dalam talian di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata berikutan itu, kementerian mengarahkan MCMC untuk mengambil tindakan segera terhadap laman-laman web berkenaan.

Kementerian itu juga mencadangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengadakan penguatkuasaan bersepadu termasuk dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengekang judi siber.

“Kementerian minta semua PBT membantu kerana pusat siber diberi lesen oleh PBT. Sekiranya tiada keperluan untuk mengeluarkan lesen baharu, saya percaya mereka tidak perlu keluarkan,” katanya selepas menyampaikan Anugerah MSC Malaysia APICTA 2014 di Angkasapuri di sini, hari ini.

Jailani berkata demikian susulan gesaan pelbagai pihak supaya kerajaan segera bertindak mengekang kegiatan judi haram dalam talian yang semakin berleluasa. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:51 PM