TOM Clancy's The Division 2. FOTO Ubisoft
TOM Clancy's The Division 2. FOTO Ubisoft
Muhammad Saufi Hassan


PEMINAT sukan elektronik pastinya menantikan judul keluaran yang dinantikan iaitu Tom Clancy’s The Division 2 yang akan dilancarkan Jumaat ini.

Ia adalah sekuel kedua daripada judul asal iaitu The Division yang dilancarkan pada 2016 dan kali ini, pembangun permainan berkenaan, Ubisoft membawakan konsep yang lebih dinamik dalam permainan berkenaan.

Permainan ini adalah bergenre penembak ketiga dan berdasarkan makluman terbaru Ubisoft, permainan itu akan dilancarkan berperingkat seawal esok mengikut kepada versi yang sudah dibeli pemain dalam pra tempahan.

Secara asasnya, Ubisoft membahagikan pelancaran permainan itu kepada lima bahagian iaitu Wilayah Eropah dan Timur Tengah, Wilayah Amerika, Wilayah Asia dan Jepun serta Korea Selatan.

Bagi pemain di Asia, pra-muat turun boleh dilakukan pada Rabu ini bermula 12 tengah malam waktu tempatan dan ia turut dilancarkan di tiga lokasi lain iaitu Wilayah Amerika dan Jepun serta Korea Selatan.

Wilayah Eropah dan Timur Tengah pula, pra-muat turun boleh dilakukan bermula hari ini jam 12 tengah malam tadi waktu tempatan.

Pengguna yang membeli permainan itu secara pra tempahan menerusi platform Uplay dan konsol XBOX One, waktu pelancaran adalah pelbagai mengikut negara.

Berdasarkan kenyataan pembangun permainan itu, saiz fail bagi The Division 2 dianggarkan antara 48 hingga 52GB bagi platform XBOX One dan PC jika menggunakan cakera.

Saiz fail itu mungkin lebih tinggi jika memuat turun secara langsung menerusi pelbagai platform yang menawarkan pra tempahan.

Kebanyakan pemerhati sukan elektronik mahu melihat pelancaran permainan itu dengan baik berbanding permainan keluaran BioWare iaitu Anthem yang menghadapi kesukaran termasuk pelbagai masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 9:39 PM