KONSEP dunia terbuka khusus untuk pemain yang gemar melakukan eksplorasi serta tumpuan kepada misi utama serta misi sampingan.
KONSEP dunia terbuka khusus untuk pemain yang gemar melakukan eksplorasi serta tumpuan kepada misi utama serta misi sampingan.
Muhammad Saufi Hassan


Tema perjuangan, revolusi menentang kekejaman dan inovasi persenjataan. Itu tiga elemen teras kepada permainan baharu terbitan Ubisoft iaitu Far Cry 6 yang menampilkan semangat revolusi.

Latar tempat untuk sekuel baharu Far Cry ini menggunakan negara kepulauan fiksyen yang diinspirasikan daripada Cuba yang terdiri daripada beberapa pecahan daerah di sekitar Yara.

Setiap daerah berkenaan mewakili tahap kesukaran atau 'level' untuk rujukan pemain dan konsep permainan adalah berasaskan kepada kebangkitan perjuangan revolusi daripada kepimpinan berbentuk diktator iaitu 'El Presidente' atau nama fiksyen pemimpin berkenaan Anton Castillo.

Untuk memahami dengan lebih lanjut berhubung mekanik serta konsep permainan berkenaan, penulis menghabiskan 12 jam permainan dan secara keseluruhannya, Ubisoft berjaya membawa permainan itu kepada tahap kesan grafik yang sangat baik.

Menyentuh aspek permainan pula, pemain akan menggunakan watak 'Dani' yang boleh dipilih jantinanya dan pilihan persenjataan berubah mengikut tahap karakter berkenaan.

Bagaimanapun, untuk menyukarkan pemain, setiap bentuk inovasi persenjataan memerlukan bahan khusus dan ia boleh didapati di sekitar kepulauan Yara dengan tanpa kotak.

Penulis banyak memberi fokus kepada eksplorasi kepulauan Yara berkenaan kerana ingin mengetahui lebih lanjut berhubung konsep asas permainan berkenaan.

Umumnya, pemain akan menyerang setiap kubu musuh untuk dirampas dan dijadikan pusat revolusi 'Libertad' dan setiap poin pemeriksaan boleh dimusnahkan.

Poin pemeriksaan yang terletak di sekitar kepulauan berkenaan turut menawarkan beberapa barangan unik yang boleh digunakan untuk menambah baik persenjataan pemain.

Far Cry 6 yang menampilkan konsep dunia terbuka juga bijak mengambil peluang eksplorasi berkenaan serta menambah beberapa ciri kesukaran untuk memberi keterujaan kepada pemain.

Pemain boleh menunggang kuda, menaiki helikopter dan kapal terbang sehingga kepada kereta yang dimodifikasi lengkap dengan senjata termasuk kereta kebal.

Seleksi persenjataan juga boleh dipilih oleh pemain di sepanjang permainan sama ada lebih gemar menggunakan taktik serangan ala 'Rambo' atau mengambil kelebihan serangan secara senyap menggunakan parang dan pistol.

Pemain juga diberi pilihan untuk memilih senjata 'ultimate' mereka iaitu bermula daripada 'Supremo' yang berbentuk taburan roket, pemancar api (flamethrower) dan bermacam lagi persenjataan.

Setiap pemilihan berkenaan mampu memberi kelebihan kepada corak permainan dan paling utama adalah Far Cry 6 boleh dimainkan secara bersama atau 'Co-Op' dengan rakan.

Secara keseluruhannya, tempoh 12 jam permainan itu sedikit sebanyak memberi input kepada permainan itu dan naratif penceritaan yang baik termasuk kesan grafik berada pada tahap tersendiri.

Pemain akan merasai sendiri naratif penceritaan Far Cry 6 ini dan ia banyak bertitik tolak kepada konflik antara revolusi termasuk watak jahat utama iaitu Anton yang turut mempunyai hubungan yang agak dingin dengan anaknya iaitu Diego.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 6:44 AM