Jasin: Walaupun bukan dalam kalangan pasukan ternama, Cyclist Connection (CC) wakil dari negeri ini tetap optimis bersaing pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Asahan pada 28 dan 29 November ini.

Pasukan yang akan diwakili 10 peserta itu komited dan berusaha melakukan kejutan sekalipun terpaksa bersaing dengan pasukan handalan lain.

Pengasas CC Mahathir Jaffar berkata, dengan sandaran terhadap jaguh Noor Ridhwan Baharin dan Mohd Aswandi Wahid, mereka yakin dua pelumba harapan itu mampu memberi saingan bermakna.

Katanya, pasukan itu memang memberi harapan tinggi kepada dua pelumba terbabit berdasarkan kesungguhan dan rekod baik dalam kejohanan MTB tempatan yang pernah disertai mereka.

“Walaupun peserta lain lebih memberi tumpuan kepada kayuhan santai dan bukan untuk bersaing, namun kami berusaha menghabiskan perlumbaan sebagai memenuhi semangat berbasikal lasak,” katanya semalam.

Mahathir berkata, ia bukan kali pertama mereka tampil pada kejohanan MTB kerana sudah tiga kali menyertainya sejak dianjurkan tahun lalu.

Berdasarkan pengalaman lalu, kejohanan MTB yang dianjurkan bukan calang-calang kerana laluan lasak dibuka kepada peserta bukan untuk kayuhan santai dan ia menjadi cabaran buat semua peserta.

“Saya sendiri seronok menyertai kejohanan ini kerana kebajikan dan kehendak peserta dijaga dengan baik. Trek disediakan pula memang dipilih mengikut kehendak sukan berbasikal lasak,” katanya.

Beliau mengakui trek di Asahan bukan ‘mainan’ kerana ia banyak membabitkan pendakian di kawasan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:17 AM