Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: “Ini bukan soal takut. Mana-mana pasukan yang berdepan situasi sama pasti akan membuat permohonan dan kami di FAM akan mengkaji permohonan itu. Tidak timbul soal kami mengutamakan pasukan tertentu,” tegas Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah yang mempertahankan keputusan kontroversi badan induk kebangsaan itu menunda perlawanan Piala FA antara Pahang dengan Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

Mengikut jadual asal perlawanan Piala FA, Pahang sepatutnya bertemu Johor DT pada 1 Mac namun disebabkan masalah tiket penerbangan, mereka yang sebelum itu terpaksa beraksi di Piala AFC di Myanmar hanya akan tiba ke tanah air pada 27 Februari sekali gus memaksa pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) membuat permohonan untuk menunda perlawanan ke 2 Mac.

Selepas permohonan itu gagal mencapai persetujuan bersama Johor DT, FAM yang mengambil kira tempoh kurang 48 jam sebelum pertemuan itu membuat keputusan untuk membenarkan rayuan PBNP dan menukar tarikh kepada 2 Mac.

Afandi yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, jika pihaknya mahu berlaku tidak adil, mereka boleh menerima permohonan asal skuad Tok Gajah yang mahu menangguhkan perlawanan dua hari lewat dari jadual asal.

“Pahang membuat permohonan untuk beraksi pada 3 Mac tapi berdasarkan bukti tiket penerbangan mereka yang kembali ke tanah air pada 27 Februari dari Myanmar, kami hanya bersetuju menunda kepada 2 Mac saja dengan mengambil kira tempoh rehat tiga hari.

“Kami tidak boleh menunda kepada 3 Mac kerana perlu mengambil kira kepentingan Johor DT yang turut memerlukan rehat bagi perlawanan seterusnya. Jadi kita tidaklah melayan semua kehendak pasukan melainkan jika ada asas kukuh untuk berbuat demikian.

“Memang mengikut SOP, sebarang pindaan perlu mendapat persetujuan kedua-dua pasukan namun jika ia gagal mencapai kata putus, kami akan meneliti perkara itu sama ada perlu kekal ataupun tidak,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Keputusan FAM itu mengundang rasa tidak puas hati Johor DT yang sebelum ini menyaksikan permohonan mereka untuk mempercepatkan aksi Liga Super semalam kepada Jumaat ditolak oleh Selangor.

Walaupun permohonan itu tidak diterima, skuad Harimau Selatan masih mempunyai jarak tiga hari sebelum bertemu East Bengal pada Selasa ini bagi perlawanan Piala AFC.

Menurut Afandi tidak timbul soal JKPT tidak sensitif dengan pembabitan pasukan tempatan di kejohanan Piala AFC memandangkan kes penundaan tarikh perlawanan dengan Pahang ini berlaku di luar jangkaan.

“Jika kami tidak peka, kami sudah meletakkan perlawanan Piala FA antara Pahang dengan Johor DT pada 27 atau 28 Februari, sama dengan pasukan lain. Kalau melihat jadual asal perlawanan Piala AFC membabitkan Pahang pada 25 Februari dan mereka dijangka pulang dari Myanmar pada 26 Februari tapi disebabkan masalah penerbangan pindaan terpaksa dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:09 AM