Kuala Lumpur: Perlawanan Piala Malaysia 2015 pada minggu keempat, iaitu 3 dan 4 Oktober yang ditunda akibat jerebu, akan diadakan pada 27 dan 28 Oktober ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Amin (gambar) berkata aksi Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Pahang di Stadium Shah Alam dan aksi PKNS FC menentang Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dijadual semula pada 27 Oktober ini.

Perlawanan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Sarawak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan Perak menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Perak, Ipoh pula akan diadakan pada 28 Oktober.

“Sekiranya Johor DT layak ke perlawanan akhir Piala AFC pada 31 Oktober, kesemua perlawanan dijadualkan pada 27 Oktober akan tetap diadakan pada tarikh sama manakala kedua-dua perlawanan pada 28 Oktober akan diadakan pada 4 November.

“Lanjutan dari itu, perlawanan pada minggu keenam bagi Kumpulan A dan D akan dijadualkan pada 7 November manakala bagi Kumpulan B dan C pula dijadualkan pada 8 November,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Johor DT yang mencipta sejarah sebagai pasukan pertama tanah air untuk melangkah ke separuh akhir Piala AFC akan menerima kunjungan juara bertahan, Qadsia SC dari Kuwait pada 20 Oktober ini untuk aksi kedua separuh akhir selepas tewas 1-3 perlawanan pertama.

Mengenai keadaan jerebu yang mengganggu perlawanan, Hamidin berkata Komisioner Perlawanan masih diperuntukkan kuasa untuk menundakan perlawanan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 150. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 6:18 AM