Oleh Rudy Imran Shamsudin


Selepas sembilan minggu bersaing, malam ini menjadi penentu kepada empat peserta yang layak ke konsert akhir rancangan realiti popular Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) untuk bergelar juara.

Buat kali pertama, penonton setia yang mengikuti program diterbitkan dan disiarkan secara langsung di Astro Ria dan Astro Ria HD ini berasakan mereka yang layak ke peringkat akhir mempunyai kelebihan dan keistimewaan.

Sukar untuk membuat keputusan siapa harus diundi untuk dinobatkan juara apabila empat peserta yang layak, Bila, Sharul, Sufi dan Syamel dirasakan mempunyai pakej yang boleh dibentuk untuk bergelar penyanyi terkenal satu hari nanti.

Seperti musim sebelum ini, kemenangan peserta di konsert akhir AF 2015 yang dijadualkan berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), jam 9 malam ini, masih bergantung kepada undian penonton sepenuhnya.

Melihat perkembangan sepanjang sembilan minggu mereka berada di pentas AF 2015, Sufi atau Mohammad Sufie Rashid, 24, mempunyai kelebihan berbanding tiga peserta lain.

Sebelum terpilih menjadi peserta AF 2015, peserta asal Singapura itu terlebih dulu mencipta nama di negara kelahirannya sebaik menjuarai program pencarian bakat SG Mania, tahun lalu.

Sufi juga mahir menghasilkan lagu iklan untuk televisyen dan radio di Singapura. Malah dia juga mempunyai single, Tiada Pengganti dan menang Lagu Terbaik Singapura di Anugerah Planet Muzik 2014.

Begitupun, kelemahan yang sering dikaitkan dengan Sufi menerusi komen diberikan pengkritik termasuk Datuk Ramli MS yang bertindak sebagai pengkritik tetap, apabila dia kerap tampil terlalu yakin di pentas menyebabkan persembahannya ada ketika berlebih-lebih dan tidak sesuai dengan lagu didendangkan.

Syamel atau Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 22, menjadi antara peserta kegemaran. Berasal dari Kuala Lumpur, persembahan Syamel bersahaja setiap kali beraksi di pentas AF 2015 dan berjaya membeli jiwa penonton setianya.

Bakat nyanyiannya mula dikesan sewaktu muncul juara di pertandingan SUERA 2015 anjuran Era FM beberapa bulan sebelum uji bakat AF 2015.

Menurut pengkritik, satu kelemahan Syamel ialah dia tidak mempunyai stamina apabila menyanyi dan nafas pendek tetapi dia pandai mewarnakan vokal gemersik dimiliki menyebabkan ia kedengaran sempurna.

Walaupun menjadi peserta kegemaran, kealpaan peminat untuk mengundi menyebabkan dia hampir disingkirkan pada minggu suku akhir.

Memandangkan Syamel antara peserta digemari peminat dan pengkiritik, dia diberikan imuniti yang ada pada pengritik tetap untuk tidak disingkirkan.

Mungkinkah malam ini nasib sama akan diterima Syamel apabila penonton setia memikirkan dia pasti juara tanpa menghantar undian, sekali gus menjadi punca gagal bergelar juara.

Mengenai Sharul atau Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman, 19, kalau dinilai pembabitannya dalam AF 2015, dia bukanlah peserta yang memiliki kemampuan vokal hebat. Bagaimanapun, kelebihan anak kelahiran Negeri Sembilan ini adalah pesona pada personalitinya setiap kali menyanyi di pentas.

Begitupun, persembahannya yang tidak konsisten menjadi isu penting untuk diatasi pada malam ini. Jika itu dapat dilakukan, tidak mustahil kemenangan akan berpihak kepadanya.

Satu-satunya peserta yang menjadi perhatian ramai sepanjang AF 2015 berlangsung adalah Bila atau Nurnajmi Nabila Samsaidi, 19, yang juga anak pemain bass kumpulan Wings, Eddie. Perhatian diberikan bukan kerana saiz badannya tetapi kemantapan vokal dimiliki.

Peserta asal dari Kuala Lumpur ini membuktikan kemampuannya apabila sepanjang sembilan minggu mengadakan persembahan, dia mendendangkan pelbagai jenis lagu tanpa melakukan kesilapan besar dalam nyanyian walaupun dalam keadaan tidak sihat.

Dia menerima komen positif setiap kali mengadakan persembahan dan ini dipersetujui penonton setia AF2015. Disebabkan itu, undian sentiasa berpihak kepadanya.

Namun, adakah malam ini akan memperlihatkan Bila menerima kritikan positif daripada pengkritik tetap dan tiga pengkritik jemputan, Datuk AC Mizal, Datuk Aznil Nawawi dan Fauziah Datuk Ahmad Daud?

Sama-sama kita saksikan kemuncak AF2015 malam ini dengan lagu pilihan mereka.

Untuk lagu cover, Syamel akan menyampaikan lagu popular Hazama, Sampai Mati, Sufi (Andaiku Bercinta Lagi/Mojo), Shahrul (Just The Way You Are/Bruno Mars) dan Bila (Karma/Faizal Tahir).

Untuk single terbaru pula, Syamel dan Sufi menyanyikan lagu ciptaan sendiri, Hidup Dalam Mati (Syamel) dan Kisah Dua Muka (Sufi) manakala Shahrul menyanyikan lagu ciptaan Aiman, Hanya Kamu dan Bila lagu ciptaan Edry Abdul Halim, Diam Saja.

Istimewanya konsert akhir AF 2015 apabila ia boleh ditonton menerusi 15 pawagam TGV terpilih di seluruh Malaysia dan bakal diserikan dengan persembahan istimewa Datuk Sheila Majid.

Mereka yang berminat untuk menyaksikannya di pawagam, boleh layari www.tgv.com.my untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:01 AM