PERSEMBAHAN pembukaan oleh Sharul, Wili dan Sufi.
PERSEMBAHAN pembukaan oleh Sharul, Wili dan Sufi.
AZIAH.
AZIAH.
SYAHID.
SYAHID.
NASIB tidak menyebelahi Dalila.
NASIB tidak menyebelahi Dalila.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Nasib tidak menyebelahi empat peserta iaitu Nurdalila Mohamed Yusof (Dalila, 23), Sharmaine Arissa Shahrudin (Arisa, 21), Suili George (Wily, 28) dan Khairul Mohd Syahid Abu Hassan (Syahid, 27), apabila gagal diserap masuk ke dalam Konsert Penentuan AF2015 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahad lalu.

Ini sekali gus menyaksikan 12 yang terbaik iaitu Sharifah Nabilah Syed Azhar (Ifa, 21), Nurnajmi Nabila Samsaidi (Bila, 19), Ang Hui San (Rachel, 23), Nurhusnina Haziqah Naharuddin (Ziqa, 19), Aziah Awang (Aziah, 21), Allyssa Joanne Anak Jambi (Lisa, 22), Anthonasius Jadil (Openg, 23), Mohammad Sufie Rashid (Sufi, 24), Syameel Aqmal Mohd Fodzly (Syamel, 22), Muhammad Ikhwan Alif Salim (Iqwan, 20), Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman (Sharul, 19) dan Muhammad Amyroulfarouk Mohd Nor (Faroq, 23) layak mara sebagai pelajar AF2015.

Konsert pengenalan itu gempak apabila setiap peserta berjaya membuktikan kehebatan masing-masing sehingga menyukarkan pengetua musim ini, Edry Abdul Halim membuat pilihan.

Bermula dengan Ziqa, Ifa, Syamel, Openg, Faroq, Sufi dan Bila, masing-masing berlumba memberikan persembahan terbaik.

Emosi penonton terbuai ketika Bila menyampaikan lagu Hanya di Mercu. Semua spontan menepuk tangan sebagai tanda sokongan manakala ibunya dilihat mengalirkan air mata.

Jelas, saiz fizikal bukan lagi ukuran kerana peminat semakin matang menilai.

Edry yang ditemui pada sidang media tidak menafikan saingan pada malam itu sangat sengit.

“Semua peserta berbakat dan ada keistimewaan tersendiri. Mereka yang terpilih beraksi malam ini diberi bimbingan dan ilmu, tetapi ada yang tidak dapat menyesuaikan diri.

“Empat yang gagal dilihat belum bersedia mengharungi cabaran AF. Ramai juga berpengalaman termasuk Syamel yang pernah menjuarai SUERA 2015 anjuran Era FM.

“Bila juga bagus kerana boleh mengawal perasaan gementar di atas pentas. Begitu juga Sufi yang tampil dengan persembahan membanggakan,” katanya.

Menurutnya, tenaga pengajar hanya memberikan 99 peratus ilmu, manakala selebihnya bergantung kepada peserta.

“Mampu bertahan atau tidak, peminat yang tentukan. Jadi, peserta perlu bijak menarik perhatian peminat,”katanya.

Mengulas keputusannya tidak memilih Dalila, Edry berkata, peserta dari Singapura itu tiada tuah untuk berada dalam AF.

“Nyanyian dan persembahannya memang bagus, tetapi mungkin dia lebih sesuai beraksi dengan band. AF sebuah program besar dan perlukan segala-galanya,” katanya.

Dalila akur dengan keputusan itu dan meminta maaf kepada penyokongnya kerana gagal memenuhi harapan mereka.

Sementara itu, Ketua Program Realiti dan Format Astro, Namanzee Harris berkata, pihaknya memberi kebenaran awal kepada Edry untuk mengambil 10 peserta, namun menukar fikiran selepas melihat kehebatan mereka sewaktu latihan.

“Mereka yang layak akan bertanding untuk sembilan minggu manakala empat yang gagal akan diserapkan dalam mana-mana program kami,” katanya.

Mengekalkan format asal seperti musim terdahulu, AF 2015 menyaksikan gabungan mantap tenaga pengajar sebelum ini iaitu Acis sebagai pengarah muzik konsert, Shahrol (guru vokal), Fatimah Abu Bakar (guru motivasi dan Bahasa Inggeris), Linda Jasmine (guru tarian dan kareografi), Fauziah Nawi (guru seni persembahan) serta Que Haidar (guru pementasan).

Zizan Razak dan Faizal Ismail sekali lagi mendapat kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara mingguan pada setiap Ahad jam 9 malam yang bersiaran menerusi Astro Ria (Saluran 104) dan Ria HD (Saluran 123).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 10:08 AM