WALAUPUN ada kelebihan pengalaman muzik berbanding pelajar lain, juara AF2015 timba banyak ilmu baru.
WALAUPUN ada kelebihan pengalaman muzik berbanding pelajar lain, juara AF2015 timba banyak ilmu baru.
Oleh Wahi Aziz


Akademi Fantasia (AF) 2015 yang melabuhkan tirai malam kelmarin tidak hanya akan melahirkan sekurang-kurangnya empat lagi anak seni pelapis, tetapi turut mencatat sejarah baru apabila buat pertama kali menobatkan peserta dari Singapura, Sufi sebagai juara.

Pentas akhir AF2015 yang memasuki edisi ke-12 itu menyaksikan jejaka berusia 24 tahun itu memperoleh 41 peratus undian jauh mengatasi pencabarnya dari Malaysia iaitu Syamel (21 peratus), Bila (19 peratus) dan Sharul (18 peratus).

Mengulas kejayaan itu, Sufi atau nama sebenarnya Mohammad Sufie Rashid berkata, sebagai bakat dari luar dia perlu bersedia menghadapi cabaran untuk mengukuhkan kerjaya di negara ini.

“Saya sebenarnya tidak menyangka dengan kejayaan malam ini (kelmarin). Namun, saya yakin kemenangan ini dibantu sokongan peminat di sini juga.

“Bagi orang baru seperti saya maka bermulalah cabaran selepas ini untuk memikat hati rakyat negara ini menerusi kerja saya.

“Saya sedar ia bukan perkara mudah dan tanggungjawab yang menanti selepas ini pun lebih besar. Namun, saya kena harungi semua itu untuk berjaya,” katanya.

Biarpun timbul persepsi nakal yang mempertikaikan profil dan pengalaman muzik dimilikinya berbanding tiga pelajar lain, Sufi berkata, penyertaan dalam AF2015 diumpamakan penyanyi amatur yang baru bermula.

“Mungkin saya ada kelebihan pada pengalaman muzik berbanding yang lain, tapi saya sematkan dalam minda seperti bayi yang baru dilahirkan apabila menyertai AF2015.

“Sebaliknya, banyak ilmu dan pengalaman baharu yang saya pelajari di sini sama seperti pelajar lain. Hanya rezeki saja memihak kepada saya yang membolehkan kemenangan ini,” katanya.

Bagi naib juara, Syamel, 22, menyifatkan pencapaian itu mengejutkan.

“Lihatlah reaksi saya ketika pengumuman tempat keempat dibuat. Saya sangka mendapat tempat keempat, tetapi nama yang Sharul diumumkan.

“Saya terdengar seperti Zizan umumkan nama saya, jadi saya spontan mengangkat tangan dan bersedia untuk mengambil trofi. Namun, apabila diumumkan semula rupa-rupanya nama Sharul. Jadi saya OK dan bersedia dengan sebarang keputusan selepas itu,” kata pemilik nama sebenar Syamel Aqmal Mohd Fodzly ini.

Bagi peserta tunggal wanita yang mendapat tempat ketiga, Bila, 19, berkata, dia reda dan terbuka menerima keputusan berkenaan.

Bila atau nama sebenarnya Nurnajmi Nabila Samsaidi berkata, penilaian masyarakat berdasarkan saiz fizikal adalah lumrah dalam kehidupannya sejak dulu lagi.

“Saya OK dan tiada masalah dengan persepsi segelintir pihak terhadap saiz fizikal saya. Saya sudah melakukan yang terbaik dalam AF2015 dan tidak pernah kecewa dengan pencapaian saya,” katanya yang juga anak kedua pemain bass kumpulan Wings, Eddie.

Bagi Sharul atau Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman, 19, dia percaya pembabitan dalam AF2015 menjadi platform untuk mengembangkan bakat dalam bidang seni.

“Dapat berada di pentas akhir adalah satu pencapaian peribadi. Saya berbesar hati dan gembira dengan kedudukan saya kerana sudah melakukan yang terbaik walaupun kurang sihat,” katanya.

Pada konsert akhir itu, Sufi menyampaikan Andaiku Bercinta Lagi nyanyian asal Mojo dan lagu baru ciptaannya sendiri berjudul Kisah Dua Muka.

Syamel pula mempersembahkan lagu Sampai Mati nyanyian asal Hazama dan lagu baru, Hidup Dalam Mati ciptaannya sendiri.

Bila di tempat ketiga menyampaikan Karma nyanyian asal Faizal Tahir dan lagu baru Diam Saja ciptaan Edry Abdul Halim.

Sementara itu, Sharul muncul dengan Just The Way You Are nyanyian asal Bruno Mars dan lagu baru, Hanya Kamu ciptaan Aiman dan ZL2.

Menerusi kejuaraan itu, Sufi menerima wang tunai RM50,000, trofi dan pakej percutian ke Dubai manakala Syamel membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi dan pakej percutian ke Dubai.

Bila di tempat ketiga menerima wang tunai RM20,000, trofi dan pakej percutian ke Dubai manakala Sharul menerima RM10,000, trofi dan pakej percutian ke Dubai.

Mahu lahirkan ramai bintang profesional

Pengetua AF2015 Edry Abdul Halim yang berpuas hati dengan persembahan semua finalis berhasrat melahirkan seramai mungkin bintang profesional daripada program terbabit.

“Ini janji saya. Anda boleh ajukan semula soalan ini kepada saya setahun dari sekarang jika saya tidak menggilap seramai yang mungkin daripada peserta musim ini menjadi bintang profesional.

“Selain mereka berempat, saya melihat ada beberapa lagi pelajar berpotensi yang boleh diketengahkan dalam bidang seni. Jika mereka boleh dipasarkan dan berwibawa mengapa tidak sebab pintu sudah terbuka,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria Raqim Ahmad Ramli berkata, pihaknya yakin peratusan undian dan kadar tontonan (rating) untuk musim ini menunjukkan peningkatan berbanding yang lalu.

“Walaupun kita belum dapat umumkan lagi angka yang tepat, berdasarkan jumlah undian peserta pada malam ini kami yakin ia meningkat jauh.

“Malah, berdasarkan respons dan sokongan yang diterima kali ini, saya boleh sahkan AF akan kembali lagi tahun depan. Mungkin pencarian bakat itu akan dikembangkan ke Indonesia, Brunei dan Thailand juga,” katanya.

AF2015 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam itu diacarakan Faizal Ismail dan Zizan Razak.

Turut membuat persembahan ialah Datuk Sheila Majid, Bunkface, Caliph Buskers dan Sada Borneo.

Ia disiarkan secara langsung pada setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123) sejak 9 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 5:07 AM