PERSEMBAHAN Syamel disifatkan malas dan tidak bersatu dengan lagu.
PERSEMBAHAN Syamel disifatkan malas dan tidak bersatu dengan lagu.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuasa imuniti yang digunakan juri tetap Datuk Ramli MS berjaya menyelamatkan Syamel, 22, daripada tersingkir dalam konsert suku akhir Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam kelmarin.

Ramli berkata, Syamel layak diberi peluang kedua berdasarkan potensi dalam dirinya dan beliau menyifatkan keputusannya itu tepat tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Kuasa imuniti ini diberikan kepada yang layak seperti Syamel. Saya melihat dia mempunyai potensi besar untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini. Jadi dia wajar diberikan peluang kedua.

“Jadi, dia perlu gunakan kesempatan ini dengan sebaiknya pada minggu separuh akhir nanti. Dalam waktu sama, pengundi dan peminat tak boleh nak mempertikaikan keputusan saya,” katanya.

Menurut Ramli, kuasa imuniti itu tidak digunakan jika bukan Syamel yang tersingkir.

“Jika dibandingkan dua peserta lain iaitu Lisa dan Rachel, tahap mereka dengan Syamel jauh berbeza dan potensi Syamel jauh lebih besar,” katanya.

Berdasarkan persembahan dan kualiti enam peserta yang tinggal, tiga daripadanya dijangka menempah laluan mudah ke peringkat akhir iaitu Bila, Sufi dan Syamel.

Ramli bagaimanapun enggan bersikap prejudis dengan menyatakan calon pilihannya untuk beraksi di pentas akhir kelak.

“Jujurnya, saya tak ada pilihan. Saya tak nak bersikap prejudis. Sepatutnya saya tak boleh menyatakan pendirian Bila layak ke perjngkat akhir ketika memberi komen persembahannya.

“Bagaimanapun, disebabkan dia terlalu bagus dan konsisten pada setiap minggu ditambah dengan bakat dimiliki, saya perlu akui kebenaran itu. Tidak keterlaluan jika dikatakan sepanjang penganjuran AF, Bila peserta terbaik yang pernah dilahirkan program ini,” katanya.

Ditanya pandangannya terhadap Sufi, Ramli mengakui pelajar kelahiran Singapura itu sudah bersedia bergelar penyanyi.

“Sufi sudah ada acuan sebagai penyanyi. Persembahan yang ditampilkan membuktikan dia memang berpengalaman.

“Tinggal lagi dia perlu mendapat didikan dan tunjuk ajar betul daripada orang lebih berpengalaman dalam bidang ini. Jika tidak, dia pasti hanyut,” katanya.

Sementara itu, Ogy Ahmad Daud selaku juri jemputan menyokong penuh keputusan Ramli menggunakan kuasa imuniti ke atas Syamel.

“Saya setuju Syamel tak disingkirkan kerana dia memiliki potensi besar. Walaupun persembahan ditampilkan kurang menghiburkan, tapi dari sisi lain dia ada kelebihan yang luar biasa.

“Saya berharap peluang kedua ini dimanfaatkan sebaiknya. Jika saya ada lagi pada minggu separuh akhir, saya nak tengok lebih dan banyak warna dalam persembahannya. Saya yakin dia mampu lakukan,” katanya.

Berbeza dengan Ramli, pelakon filem Ali Setan ini memilih Sufi, Bila dan Syamel sebagai finalis AF 2015.

“Jika ada tambahan lagi seorang, saya pilih Shahrul. Dua peserta wanita lain bukannya tak bagus, tapi mereka terlalu menjaga penampilan berbanding persembahan. Saya tak nak tengok itu, sebaliknya kemampuan mereka sebagai penyanyi.

“Jujur saya katakan, Lisa gagal menyanyikan lagu Ku Akan Bersuara serta lagu duet bersama Rachel iaitu Let It Go. Dia mempersiakan peluang itu sehingga merugikan diri sendiri,” katanya.

Ogy juga menyeru kepada peminat dan pengundi supaya berpijak di bumi nyata.

Katanya, peserta yang bagus dan berpotensi selayaknya berada di pentas akhir.

Persembahan bertemakan lagu pilihan media dan peminat itu menyaksikan Sufi berada di tangga teratas dengan peratusan undian 30.64 peratus. Di tempat kedua, Lisa 15.2 peratus diikuti Bila 15.07 peratus.

Berada di kedudukan keempat adalah Shahrul de­ngan undian 15.06 peratus, Rachel 12.54 peratus dan Syamel 11.42 peratus.

Tidak dirancang

Pengurus Saluran Astro Ria Raqim Ahmad menafikan pihaknya merancang menggunakan kuasa imuniti itu ketika nama Syamel diumum tersingkir.

“Dari awal program ini berlangsung kita sudah memperkenalkan konsep itu. Cuma ia hanya boleh digunakan selepas minggu kelima. Jadi kami meletakkan sepenuh tanggung­jawab ke atas juri tetap bagi menggunakan kuasa itu.

“Siapa dirasakan layak mendapat imuniti, ia terpulang. Pihak kami sama sekali tak masuk campur. Malah, apabila Ramli menggunakannya ke atas Syamel, kami perlu akur. Lagipun ia keputusan tepat,” katanya.

Menurut Raqim, kuasa imuniti itu pertama kali diperkenalkan sepanjang penganjuran AF.

“Selepas ini tidak ada lagi kuasa imuniti sebab ia boleh digunakan sekali saja. Lagipun, konsep ini bagi mengelakkan wujudnya Afundi Masuk,” katanya.

Bukan sahaja Raqim, Edry Abdul Halim selaku pengetua turut bersetuju kuasa imuniti diberikan kepada Syamel.

Pihak produksi juga sedang dalam perbincangan bagi mengekalkannya kedudukan Ogy sebagai juri di peringkat separuh akhir dan akhir.

“Kami mendapat maklum balas positif apabila Datuk AC Mizal dan Ogy duduk di kerusi juri. Insya Allah, kami sedang berbincang dan sudah ada perancangan ke arah itu.

“Sama ada seorang atau kedua-dua sekali, saya yakin ia tak mengecewakan penonton,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 5:01 AM