Reaksi Amir selepas diumum juara. FOTO NSTP
Reaksi Amir selepas diumum juara. FOTO NSTP
Amir juarai AF 2016. FOTO NSTP
Amir juarai AF 2016. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam: Peserta dari Selangor, Amir muncul juara program realiti Akademi Fantasia 2016 (AF2016) pada konsert akhir di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam di sini, malam tadi.

Ammal pula muncul naib juara, Reshma di tempat ketiga, Ara akur di tangga keempat manakala Afi pula sekadar berpuas hati di tempat kelima.

Menerusi kemenangan itu, Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi menerima wang tunai RM50,000, tajaan biasiswa pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM), trofi AF2016 dan kredit membeli belah RM5,000 tajaan 11Street.

Amal pula membawa pulang RM20,000, trofi AF2016 dan kredit membeli belah RM4,000 tajaan 11Street manakala Reshma di tempat ketiga menerima RM15,000, trofi AF2016 dan kredit membeli belah RM3,000 tajaan 11Street.

Ara di tempat keempat menerima RM10,000, trofi AF2016 dan kredit membeli belah RM2,000 tajaan 11Street. Afi yang berada di tempat kelima pula menerima RM5,000, trofi AF2016 dan kredit membeli belah RM2,000 tajaan 11Street.

Pada konsert akhir, kesemua peserta diberikan dua tugasan dengan menyampaikan lagu penyanyi lain dan lagu baru masing-masing.

Selaku juara, Amir tampil dengan lagu Romantis nyanyian asal Spring dan lagu baru, Pemilik Cinta ciptaan Sri Kandi dan Hang Nadim.

Selain itu, di konsert akhir itu juga, Amir turut dipilih sebagai pemenang Anugerah Fantasi D'Herbs dan berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000.

Konsert akhir AF2016 diacarakan Alif Satar dan Zizan Razak.

Pengkritik pula dibarisi juri tetap, Datuk Ramli MS, Datuk AC Mizal, dan Datuk M Nasir selaku juri jemputan.

Sebelum itu, pentas konsert akhir ini dibuka dengan persembahan bertenaga daripada Akim & The Majistret menerusi lagu Lygophobia dan Peronda Jaket Biru.

Penonton juga turut dihiburkan dengan persembahan daripada kumpulan Indigo dan KRU.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Hadir memberi sokongan, barisan artis antaranya Aril, Dina Nadzir, Hael Husaini, Syamel, Sufi, Maulana, Haziq, Radin dan pelakon drama bersiri Suri Hati Mr Pilot yang terdiri daripada Fattah Amin, Neelofa, Nina Jurin dan ramai lagi.

AF2016 disiarkan secara langsung pada jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123) sejak 21 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 12:43 AM