Kuala Lumpur: Bahang kejuaraan makin terasa! Sebanyak 13 peninju tempatan akan berentap dalam sembilan kategori untuk merebut gelaran juara Gabungan Seni Mempertahankan Diri Malaysia Invasion (MIMMA) edisi ketiga di Stadium Putra Bukit Jalil, Sabtu ini,

Di bawah kelolaan Tune Talk, siri akhir MIMMA itu adalah rangkuman jelajah kejohanan sukan itu yang diadakan di seluruh negara sejak awal tahun.

Buat julung kalinya, dua divisyen baru Women’s Pride dan Foreign’s Pride diperkenalkan sebagai tambahan kepada tujuh kelas sedia ada.

MIMMA diasaskan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sejak 2013 dengan berdasarkan program realiti televisyen, MyTeam yang berkonsepkan sukan bola sepak. Kejohanan Siri 3 ini bakal melakar sejarah tersendiri dengan mempertaruhkan beberapa penyandang juara siri lalu menentang muka baru bagi menyuntik kelainan dan menjanjikan kepuasan penonton.

Tiga daripada tujuh juara siri lalu bakal membuat kemunculan dalam pertarungan kali ini bagi mempertahankan gelaran tertinggi dalam kelas masing-masing.

Darren Low, Seah Zhang Yu dan Muhammad Hasrul antara yang bakal diberi perhatian kerana tahap pertarungan mereka berbeza, setimpal dengan kelayakan sebagai peninju terbaik MIMMA dalam divisyen tersendiri.

Lima lagi juara bertahan akan meneruskan perjalanan karier dalam sukan ini dengan menyertai kelas profesional MMA, selari dengan matlamat MIMMA untuk menjadi platform pembangunan bagi mengasah bakat peninju berpotensi tinggi.

MIMMA Siri 3 ini diadakan sempena Minggu Sukan Kebangsaan dengan penonton juga boleh menikmati perlawanan ONE FC.

Bagi yang berminat untuk menonton kedua-dua acara iaitu ONE X MIMMA boleh mendapatkan tiket pelbagai guna.

Mereka boleh mendapatkan tiket di AirAsia RedTix, bermula pada harga RM40 manakala tiket pelbagai guna RM77.20.

Untuk maklumat lanjut mengenai MIMMA, sila layari www.MalaysianInvasion.com atau www.facebook.com/MalaysianInvasion.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 7:22 AM