Kuala Lumpur: Sektor insurans permotoran dan kebakaran di negara ini akan distruktur semula pada harga yang dipacu pasaran bagi menangani herotan pasaran semasa yang menjejaskan kemampanan jangka panjang insurans permotoran.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Muhammad Ibrahim berkata, langkah itu akan membuka ruang untuk pembangunan produk yang lebih responsif kepada keperluan pengguna dan perniagaan dalam dua jenis perniagaan utama dalam sektor insurans am Malaysia.

“Apa yang penting, ia bergantung kepada syarikat insurans dan takaful untuk membangunkan taja jamin serta amalan risiko harga dalaman yang kukuh bagi memastikan kemampanan perniagaan, terutama dalam segmen insurans permotoran yang sangat kompetitif,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Insurans Malaysia ke-5 di sini, semalam.

Beliau berkata pelaksanaan itu penting kerana industri itu tidak mampu untuk membuat unjuran jangka pendek dan perlu menumpukan kepada pembangunan asas untuk beroperasi dalam pasaran yang matang serta pelbagai, dengan tawaran nilai yang lebih kukuh untuk pengguna.

Katanya, pembangunan utama lain di Malaysia ialah pengenalan Insurans Hayat dan Rangka Kerja Takaful Keluarga.

“Tumpuan ke atas sektor takaful insurans hayat dan keluarga bertujuan meningkatkan tahap penembusan, yang diukur berdasarkan jumlah polisi bagi setiap penduduk, daripada 56 peratus pada masa ini kepada 75 peratus pada 2020 seperti yang nyatakan dalam Program Transformasi Ekonomi.

“Inovasi produk adalah usaha yang penting dalam merealisasikan sasaran ini, terutama dalam ruang insurans mikro dan takaful mikro yang akan memperluas jangkauan kepada segmen masyarakat yang kurang mendapat perhatian,” katanya.

Muhammad berkata, kedua-dua inisiatif itu akan membolehkan industri melakukan inovasi, selain memastikan kepentingan pengguna terus dilindungi secukupnya.

“Matlamat kita tidak berubah untuk memastikan rakyat Malaysia berpeluang untuk memanfaatkan cara yang cekap dan berkesan dalam mengurus risiko menerusi penyelesaian insurans dan takaful yang bersesuaian dengan keperluan mereka,” katanya.
-BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 5:58 AM