Kamaludin (dua dari kanan) bersama pengarah Maybank Ageas selepas pengumuman keputusan kewangannya, semalam.
Kamaludin (dua dari kanan) bersama pengarah Maybank Ageas selepas pengumuman keputusan kewangannya, semalam.

Kuala Lumpur: Maybank Ageas Holdings Berhad (Maybank Ageas), syarikat induk bagi jenama insurans dan takaful Etiqa berhasrat meluaskan pasarannya ke Indonesia dan Filipina melalui aktiviti pemilikan dalam tempoh awal tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamaludin Ahmad berkata, syarikat mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat kecil untuk melaksanakan aktiviti terbabit bertujuan mengembangkan perniagaan di pasaran serantau.

“Kami dapati proses untuk mendapatkan lesen di negara terbabit agak sukar dan aktiviti pemilikan ini membolehkan kami memanfaat lesen sedia ada untuk beroperasi di sana,” katanya selepas pengumuman keputusan kewangan 2014 Maybank Ageas di sini, semalam.

Beliau berkata, Maybank Ageas melakukan penilaian lebih rendah dengan jumlah antara tiga hingga lima kali daripada nilai buku bagi syarikat yang disasarkan, namun ia perlu memiliki operasi perniagaan dan saluran kukuh.

“Saya jangka aktiviti pemilikan ini mampu dilaksanakan berdasarkan prestasi kami bagi operasi di Singapura tahun lalu melalui tawaran produk insurans dan hayat dengan sasaran sumbangan antara enam hingga tujuh peratus hujung tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Maybank Ageas menyasarkan pertumbuhan premium bertulis kasar antara 10 hingga 12 peratus pada tahun ini kepada segmen lebih menguntungkan dan perniagaan premium biasa.

Syarikat induk kepada Etiqa Insurance Berhad dan Etiqa Takaful Berhad itu mencatatkan rekod keuntungan sebelum cukai sebanyak RM767 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lalu di mana ia adalah peningkatan lima peratus daripada RM733 juta pada tempoh masa sama dipacu oleh premium bertulis kasar dan sumbangan yang berkembang kepada RM5.02 bilion.

“Kami menyasarkan untuk terus menjadi pemimpin pasaran di dalam industri takaful dan insurans di mana kami akan terus berusaha untuk mengekalkan kedudukan ini,” katanya.

Kini, Etiqa menguasai pasaran insurans am dan takaful dengan penguasaan kira-kira 12.8 peratus serta 3.9 juta pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 8:29 AM