Kuala Lumpur: Pelarasan kadar tarif premium insurans motor bagi 2015 dijangka akan berkuat kuasa 23 Februari ini seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif ING Public Takaful Ehsan (Takaful Ehsan), Saiful Yazan Ahmad berkata, sama ada kadar berkenaan naik atau turun, sudah pasti pengguna akan mencari kadar yang paling kompetitif.

Katanya, ia juga mungkin akan mengakibatkan sedikit perpindahan pengguna daripada satu operator kepada yang lain.

“Dari perspektif takaful, semakan kadar adalah perlu untuk memastikan dana takaful mencukupi untuk menampung bayaran tuntutan motor dan jika dana berlebihan maka peserta takaful akan menikmati perkongsian lebihan yang akan diagihkan pada akhir tahun, maka isu sumbangan mahal tidak timbul.

“Tambahan konsep takaful adalah tolong-menolong antara peserta dan penyedia takaful sebagai pemegang amanah, harus sentiasa memastikan dana sentiasa mencukupi,” katanya.

Menurutnya, kadar tarif premium insurans motor tidak semestinya akan naik keseluruhan dan berkemungkinan akan terdapat faktor tertentu yang akan menurunkan kadar.

Saiful berkata, bagaimanapun bagi kadar tarif terdapat kesan berbeza antara penyedia takaful kerana bagi penyedia yang mempunyai peserta takaful yang besar mungkin mempunyai kelebihan disebabkan boleh mendapatkan kadar sumbangan yang baik dan kompetitif, manakala penyedia yang berskala kecil mungkin menghadapi cabaran dalam menawarkan kadar yang kompetitif.

Beliau berkata, kesimpulannya, industri akan mengenakan kadar terbaik supaya semua pihak memperoleh manfaat bersama.

Sementara itu, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dalam kenyataannya menjelaskan bahawa semakan semula premium insurans motor adalah penerusan pelarasan kadar premium tarif permotoran menerusi rangka kerja baharu permotoran.

“Semakan itu hanya terpakai untuk kereta persendirian, teksi awam dan bas ekspres manakala kadar bagi jenis kenderaan lain, kekal,” katanya.

Pelarasan itu terpakai untuk polisi yang dibeli atau dibaharui bermula 23 Februari dan rangka kerja yang diperkenalkan oleh BNM pada 2012 itu bukan sahaja menangani isu struktur dalam sektor insurans permotoran, malah turut mempromosi liberalisasi sektor insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 7:46 AM