Gua Musang: Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang dan polis tidak wajar dipersalahkan dalam tragedi kehilangan tujuh murid Orang Asli yang melarikan diri dari asrama sekolah itu pada 23 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Tohoi Zainal Cali berkata, kejadian itu berpunca daripada salah faham dalam kalangan murid Orang Asli itu.

Katanya, sehingga kini guru sekolah itu menjadi mangsa tuduhan kerana didakwa ingin mengambil tindakan terhadap 25 murid yang mandi di sungai yang terletak kira-kira 500 meter dari SK Tohoi.

“Guru berkenaan tidak pernah menyuarakan hasrat untuk mengambil tindakan terhadap mangsa.

“Sebaliknya rakan mereka sendiri mengakui berlaku salah faham sehingga menyebabkan tujuh daripada 25 murid itu melarikan diri kerana bimbang diambil tindakan oleh guru berkenaan,” katanya ketika ditemui di Pos Tohoi, dekat sini, pagi semalam.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, selepas kehilangan tujuh murid itu, pihak sekolah bersama penduduk kampung mengambil inisiatif sendiri terus melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan persekitaran.

“Bagaimanapun, selepas gagal menemui mangsa sehingga jam 12 tengah malam, pihak sekolah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

“Saya juga sudah membentangkan semua kejadian itu kepada semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan agensi kerajaan yang lain untuk memahami perkara yang sebenar berlaku,” katanya.

Sementara itu, Sobrie Latip, 25, bapa kepada Sasa, 8, pula berkata, dia ingin melupakan semua kejadian itu kerana tidak mahu memberi kesan terhdap kesihatannya berikutan terlalu lama memikirkan nasib menimpa anaknya.

“Perkara yang lebih penting, adalah menuntut mayat Sasa untuk dikebumikan, tetapi setakat ini belum menerima apa-apa perkembangan mengenai perkara itu.

“Memang saya sudah mengecam mayat awal yang ditemui itu anak saya, tetapi terpaksa tunggu juga keputusan ujian DNA yang lebih tepat,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 9:28 AM