RUSYDI  (kanan) melihat anggotanya  diberi rawatan awal selepas  disengat tebuan.
RUSYDI (kanan) melihat anggotanya diberi rawatan awal selepas disengat tebuan.

Kota Bharu: Dua anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) PARA Kem Sri Pantai, Terengganu cedera dipatuk ular dan disengat tebuan ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) murid Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang.

Kedua-duanya bagaimanapun dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM).

Ketua Kompeni Charlie 18 Rejimen itu, Mejar Rusydi Noh Ramli berkata, anggotanya tidak mengalami kecederaan yang serius akibat insiden itu dan masih boleh meneruskan tugas selepas beberapa hari menerima rawatan.

“Minggu lalu, Lans Koperal Mohd Sayuti Mukhtar dipatuk ular tikus ketika di pusat operasi SAR di Pos Tohoi dan diberi rawatan awal sebelum dirujuk ke HGM.

“Dua hari dirawat di HGM dan dilaporkan stabil. Manakala, semalam (kelmarin) Koperal Mohamad Rahmat Mahmood pula disengat tebuan tanah sebanyak tiga ekor yang mengenai di kepala (dua) dan tangan.

“Dia ketika itu dalam perjalanan ke lokasi menunggu kenderaan untuk penarikan keluar berhampiran Sungai Jenera, namun sempat diberi rawatan awal dan kini dirawat di HGM,” katanya di sini, semalam.

Rusydi berkata, insiden itu dianggap biasa dan tidak sekali-kali mematahkan semangat anak buahnya untuk terus meneruskan operasi hingga seorang lagi mangsa ditemui.

Katanya, mereka masih menunggu arahan selanjutnya berhubung operasi itu dan akan terus mengekalkan kekuatan yang ada.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 10:18 AM