Zahid berjumpa dengan ahli keluarga mangsa selepas mendengar taklimat mengenai operasi SAR dalam lawatan kerja beliau ke lokasi tujuh anak Orang Asli yang hilang lebih sebulan lalu di Pos Tohoi, Gua Musang. FOTO Syamsi Suhaimi
Zahid berjumpa dengan ahli keluarga mangsa selepas mendengar taklimat mengenai operasi SAR dalam lawatan kerja beliau ke lokasi tujuh anak Orang Asli yang hilang lebih sebulan lalu di Pos Tohoi, Gua Musang. FOTO Syamsi Suhaimi
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Ramai

Gua Musang: Misi pencarian tujuh kanak-kanak Orang Asli Pos Tohoi yang hilang sejak 23 Ogos lalu diperluaskan sekitar 80 sehingga 140 kilometer iaitu di luar hutan terutama sekitar bandar terdekat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencarian tujuh kanak-kanak itu yang memasuki hari ke-37 akan diteruskan sehingga mereka ditemui.

"Kawasan pencarian diperluaskan iaitu mencari di luar hutan kerana sehingga kini tiada sebarang petunjuk kehilangan mereka.

"Bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR), kita akan menambah satu platun (40 orang) anggota Senoi Praaq Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan segera kerana mereka tahu selok belok hutan," katanya dalam sidang media selepas menemui ahli keluarga mangsa sempena lawatan beliau ke Pos Tohoi di sini, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan dalam kejadian 23 Ogos lalu, tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi didapati hilang dari asrama akibat dimarahi pihak sekolah kerana mandi di sungai.

Tujuh yang hilang adalah Mirsudiar Aluj (11), Noreen Yaakub (10), Ika Ayel (9),Sasa Sobrie (8), Haikal Yaakub (8), Linda Rosli (8) dan Juvina David (7).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 4:48 PM