FOTO SYAHIRAH ABDULLAH
FOTO SYAHIRAH ABDULLAH
Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Dua penerbangan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang membabitkan syarikat penerbangan Malindo Air dan Firefly pagi ini terpaksa ditunda dan dibatalkan akibat jerebu.

Pengurus Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Dr Ahmad Ramli Mahmood berkata, bagaimanapun tiada sebarang pembatalan atau penundaan penerbangan berlaku di LTSM dan penerbangan berjalan mengikut jadual.

Beliau berkata, penerbangan Firefly FY2100/2101 dari LTSAS yang dijadualkan pada jam 8.35 pagi ini ke LTSM yang sepatutnya membawa penumpang seramai 27 orang terpaksa dibatalkan.

"Selain itu, penerbangan Malindo Air OD1804 juga dari LTSAS ke LTSM dengan jumlah penumpang seramai 41 orang yang dijadual pada jam 8.05 pagi ini ditunda kepada 2 pagi esok (5 Oktober) selaras dengan keputusan syarikat penerbangan itu sendiri.

"Semua penerbangan yang dibatalkan dan ditunda ini hanya membabitkan penerbangan dari LTSAS ke LTSM, manakala penerbangan dari LTSM ke LTSAS berjalan mengikut jadual ditetapkan kerana kadar jarak penglihatan direkodkan setakat ini adalah 1800 meter," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 1:24 PM