Saibah disambut ahli keluarga sejurus tiba di Balai Ketibaan LTSM selepas pulang mengerjakan umrah. FOTO Ghazali Kori
Saibah disambut ahli keluarga sejurus tiba di Balai Ketibaan LTSM selepas pulang mengerjakan umrah. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Suasana sedih menyelubungi perkarangan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) sebaik ibu kepada pesakit leukemia tahap empat tiba di Balai Ketibaan LTSM, di sini, jam 8.40 pagi tadi.

Ahli keluarga arwah Muhammad Ramadhan Alias, 20, yang menunggu ketibaan Saibah Yaacub, 57, di Balai Ketibaan LTSM tidak dapat menahan sebak sebaik melihat wanita itu.

Saibah yang sebelum ini berlepas ke tanah suci untuk mengerjakan umrah bersama arwah Muhammad Ramadhan pada 18 Januari lalu pulang berseorangan selepas anak bongsu daripada lima beradik itu meninggal dunia pada 21 Januari lalu ketika menerima rawatan di Hospital Al-Ansar, Madinah.

Menurut Saibah, dia tidak dapat menyembunyikan rasa sedih apabila pulang berseorangan ke tanah air tanpa arwah yang mesra disapa Adam.

"Memang sedih sebab pergi berdua tetapi balik seorang, tetapi saya reda dengan pemergiannya. Sekurang-kurangnya, hasratnya untuk ke tanah suci tercapai," katanya.

Muhammad Ramadhan meninggal dunia sebelum sempat berangkat ke Makkah untuk mengerjakan umrah selepas dia dan ibunya dibiayai ke Tanah Suci oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) dan kerajaan Terengganu.

Jenazah Muhammad Ramadhan dikebumikan di Makam Baqi' selepas solat Asar waktu tempatan iaitu kira-kira jam 10 malam waktu Malaysia pada 22 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 12:44 PM