Zatul Iffah Zolkiply


LEBIH 50 peratus petugas di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus bekerja dari rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

Pengurus Malaysia Airports Sdn Bhd LTSM, Che Sulaiman Che Pa berkata, pengurangan jumlah petugas bertujuan meminimakan pergerakan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Mereka ini bekerja dari rumah selain kita menggunakan sistem penggiliran dalam tugas sebagai langkah mengelak perhimpunan secara beramai-ramai.

“Malah, sepanjang PKP ini juga, jumlah penerbangan berkurangan dari semasa ke semasa menyebabkan kita tidak memerlukan petugas yang ramai pada satu-satu masa.

“Sebagai contoh, ketika ini, hanya ada dua penerbangan iaitu dari Subang ke Kuala Terengganu (KT) dan KT- Subang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melakukan proses nyah kuman atau disinfeksi di LTSM selama tiga jam bermula 9 pagi.

Mengulas mengenai proses nyah kuman itu, katanya, pembersihan di dalam dan luar lapangan terbang yang dikenal pasti disentuh manusia seperti suis, bangku dan eskalator dilakukan setiap hari.

ANGGOTA JBPM Terengganu bersama Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MBKT melakukan proses disinfeksi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.  FOTO Ghazali Kori
ANGGOTA JBPM Terengganu bersama Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MBKT melakukan proses disinfeksi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. FOTO Ghazali Kori

“Memang kita buat setiap hari, tetapi ini kali pertama kita melakukan ia secara besar-besaran dan insya-Allah, ia akan dilakukan lagi berdasarkan keperluan.

“Kita turut membuat penjarakan sosial dan menyediakan pemeriksaan suhu badan serta cecair pembasmi kuman terhadap penumpang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 6:55 PM