BECKER cipta kejutan.
BECKER cipta kejutan.

Kuala Lumpur: Pemain bukan pilihan Benjamin Becker melakukan kejutan apabila menundukkan pilihan keempat Grigor Dimitrov (gambar kecil) dari Bulgaria di suku akhir kejohanan tenis Terbuka Malaysia (MOKL) di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini semalam.

Pemain berusia 34 tahun dari Kanada itu yang berada pada ranking ke-74 dunia menundukkan Dimitrov, pemain nombor 18 dunia, 6-4, 7-6(3) dalam pertarungan 95 minit.

Kemenangan itu membolehkan Becker menentang pemain nombor lapan dunia, David Ferrer di separuh akhir hari ini.

Ferrer mara selepas menjinakkan pemain Kazakhstan Mikhail Kukushkin, 6-3, 6-4.

“Dia (Dimitrov) pemain hebat, cukup berbakat. Saya sedar akan berdepan laluan sukar apabila menentang pemain sepertinya.

“Saya bermain baik pada set pertama dan agak bertuah ketika set kedua. Ini aksi yang baik untuk saya,” kata Becker.

Sementara itu, Ferrer mengakui Becker bermain baik di kejohanan ini dan percaya pertemuan separuh akhir nanti bakal sengit.

Dalam satu lagi aksi suku akhir, pemain Australia Nick Kyrgios yang ibunya berasal dari Malaysia mengetepikan pemain Croatia Ivo Karlovic dalam pertarungan dramatik sebelum menang 7-6(4), 7-6(2) bagi menempah pertemuan dengan Feliciano Lopez dari Sepanyol.

“Sesuatu yang hebat untuk berada di separuh akhir. Saya sedar perlawanan hari ini sukar tapi menentang Karlovic sungguh menyeronokkan.

“Tambahan pula saya dapat menamatkan perlawanan dengan pukulan ace. Hakikat Karlovic pernah tewas sekali kepada saya juga membantu.

“Ia memberi saya keyakinan kerana pernah menewaskannya sebelum ini,” kata Kyrgios.

Lopez mara ke separuh akhir selepas menewaskan Vasek Pospisil dari Kanada 6-7(2), 6-3, 6-2 dalam pertarungan dua jam. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:07 AM