NADAL meraikan kejayaan menewaskan   Mayer di Barcelona. - FOTO Agensi
NADAL meraikan kejayaan menewaskan Mayer di Barcelona. - FOTO Agensi
Reuters

PEMAIN nombor dua dunia, Rafael Nadal kehilangan set buat kali pertama dalam masa empat tahun di Terbuka Barcelona sebelum bangkit menewaskan pemain Argentina, Leonardo Mayer 6-7(7), 6-4, 6-2 awal pagi tadi.

Bintang Sepanyol itu ketinggalan 5-3 di set pertama dan gagal menyempurnakan dua set point pada tiebreak yang dimanfaatkan Mayer menerusi pukulan kilas untuk menamatkan permainan.

Nadal yang memegang rekod kejuaraan Terbuka Barcelona sebanyak 11 kali tidak kehilangan sebarang set sejak tewas kepada Fabio Fognini dalam saingan 16 terakhir pada 2015. Dia menang 30 set berturut-turut sehinggalah menentang Mayer yang menduduki ranking ke-63 dunia.

Nadal nyaris tewas dua aksi berturut-turut di atas tanah liat buat kali pertama dalam kariernya selepas kekalahan di separuh akhir Monter Carlo Masters di tangan Fognini tetapi bangkit dengan mematahkan servis lawannya pada awal set kedua.

Nadal yang beraksi di atas gelanggang sempena namanya sekali lagi dua kali mematahkan servis pemain Argentina itu pada set penentuan untuk menempah tempat ke saingan 16 terakhir menentang rakan senegara, David Ferrer.

"Ia bukanlah permulaan yang bagus tetapi saya semakin mendapat rentak dan menang perlawanan,” kata Nadal.

Pilihan kesembilan, Denis Shapovalov tewas mengejut kepada pemain Chile, Christian Garin 7-5, 6-2 manakala pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov turut melepasi halangan pemain Sepanyol, Fernando Verdasco 6-2, 6-7(4), 6-3.

Ferrer pula menewaskan pemain Perancis, Lucas Pouille 6-3, 6-1 manakala pemain Argentina, Guido Pella menewaskan Karen Khachanov dengan straight set.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 10:55 AM