DJOKOVIC
DJOKOVIC

Montreal: Novak Djokovic meraih kemenangan ke-50 tahun ini sekali gus layak ke suku akhir Masters Montreal dan kemudian mengecam Nick Kyrgios kerana penghinaan seksual terhadap Stanislas Wawrinka yang mengejutkan sukan itu.

Pilihan utama itu yang juga juara tiga kali di Kanada, meraih kemenangan ke-28 berturut-turut pada peringkat Masters dengan menundukkan Jack Sock dari Amerika Syarikat 6-2, 6-1.

Kemenangan dalam masa 54 minit itu membantu pemain nombor satu dunia dari Serbia itu mara ke suku akhir menentang pemain Latvia, Ernests Gulbis.

Pilihan kedua Andy Murray, yang memburu kejuaraan ketiga di Kanada, turut mencatat kemenangan ke-50 musim ini selepas menang 6-3, 6-2 ke atas pemain Luxembourg, Gilles Muller.

Djokovic mengutuk Kyrgios yang didenda AS$10,000 (RM40,700) kerana penghinaan seksual pada pusingan ketiga kelmarin.

Pemain Australia berusia 20 tahun itu menggunakan mikrofon di gelanggang mengumumkan perihal mengenai teman wanita Wawrinka.

Kyrgios menegaskan, wanita itu pernah berasmara dengan rakan karibnya, Thanasi Kokkinakis.

“Maaf kerana memberitahu anda perkara ini,” Kyrgios berkata ketika dia membelakangnya juara Terbuka Perancis itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:12 AM