Kuala Lumpur: Pemain nombor lapan dunia David Ferrer (tengah) tidak akan berputus asa untuk meraih kejuaraan Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia (MOKL) 2015 di Stadium Putra di Bukit Jalil, di sini.

Pemain Sepanyol berusia 33 tahun itu yang hanya beraksi pusingan awal pada 2009, sebelum mara ke separuh akhir pada 2010 dan 2012 serta suku akhir 2013, berharap nasib menyebelahinya kali ini.

“Saya masih ingat kali pertama di Malaysia pada 2009. Saya sentiasa mendapat sokongan peminat. Saya tidak pernah mara ke perlawanan akhir (MOKL) di sini. Mungkin tidak akan menang (di sini) tapi saya berjanji akan memberikan tentangan hebat.

“Tahap kecergasan saya baik. Saya mahu beraksi dua atau tiga tahun lagi. Tahap motivasi masih sama seperti pemain berusia 20 tahun,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, semalam.

Setakat ini, Ferrer sudah memenangi tiga gelaran membabitkan Terbuka Qatar, Terbuka Rio dan Terbuka Mexico sepanjang tahun ini.

Ferrer yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia akan disertai pemain muda berbakat Grigor Dimitrov dari Bulgaria (11), Feliciano Lopez, Sepanyol (12) serta pemain dengan jolokan ‘half kampung kid’, Nick Kyrgios pada kejohanan kali ini.

Sementara itu, pemain ternama India, Leander Paes akan kembali mempertahankan gelarannya dalam acara beregu lelaki berpasangan dengan pemain muda, Grigor Dimitrov dari Poland.

Paes yang meraih kejuaraan MOKL 2014 bersama Marcin Matkowski dari Poland, diletakkan sebagai pilihan utama utama kejohanan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:03 AM