Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) mengorak langkah lebih jauh apabila mahu menyertai Liga Pro-Thailand April tahun depan.

Presidennya Mohd Shapian Ali, berkata, pihaknya yakin impian untuk beraksi di negara jiran itu menjadi kenyataan dan akan ke negara terbabit akhir tahun ini membincangkan beberapa perkara.

Menurutnya, usaha itu hasil perkembangan sukan sepak takraw yang begitu baik di Terengganu sehinggakan kerajaan negeri sanggup membiayainya ke peringkat profesional.

“Jika kita lihat hari ini, Terengganu menjadikan sukan bola sepak, hoki dan basikal sukan profesional, maka sudah tiba masanya sukan sepak takraw pula ke arah itu.

“Sekiranya diluluskan kerajaan negeri hasil perbincangan bulan depan, Terengganu akan mencipta sejarah mewarnai Liga Pro-Thailand, tahun depan,” katanya.

Mohd Shapian berkata, pihaknya bukan saja mahu tertumpu di Thailand, malah akan menyertai liga profesional negara lain seperti Myanmar dan Vietnam.

Ditanya usaha Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memperkenalkan Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Negeri pada 13 hingga 16 Disember, beliau menegaskan PSTNT tidak dimaklumkan mengenainya.

“Saya tidak tahu, jadi tidak ada apa-apa untuk komen. Bagaimanapun, kami tidak mahu menghalang mana-mana pemain yang ingin menyertai kejohanan ini dan terserah kepada mereka,” katanya.

STL adalah kerjasama antara PSM dan Asia Sports Ventures berperanan mengurus, membangun dan mempromosikan sukan sepak takraw di peringkat global.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:14 AM