Oleh Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Enam persatuan negeri di bawah ahli gabungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menghantar surat bantahan berhubung Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kepada Pesuruhjaya Sukan pada 24 Oktober lalu.

Bekas Timbalan PSM Mohd Shapian Ali berkata, persatuan itu adalah Selangor, Kedah, Pahang, Sabah, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT) berkata, pihaknya kini menunggu hasil bantahan daripada Pesuruhjaya Sukan dan ia dibuat berkaitan AGM yang diadakan di Johor Bahru, baru-baru ini.

“Apa yang mengejutkan kami apabila Pesuruhjaya Sukan memaklumkan PSM belum lagi menghantar minit mesyuarat AGM itu kepadanya.

“Mengikut perlembagaan, minit mesyuarat mesti dihantar dalam tempoh 30 hari selepas AGM diadakan kepada Pesuruhjaya Sukan.

“Bagaimanapun, hingga surat bantahan kami dibuat belum ada minit mesyuarat diserahkan kepada Pesuruhjaya Sukan,” katanya semalam.

Sebelum ini, Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail mempertahankan jawatannya buat penggal keempat pada AGM PSM.

Dalam perebutan satu lawan satu bagi jawatan Presiden PSM, Ahmad mendapat 50 undi untuk menewaskan pencabarnya, Mohd Shapian yang mendapat 20 undi.

Mengulas lanjut, Mohd Shapian berkata, antara bantahan yang dibuat berkaitan akaun PSM tidak dikemaskini selama empat tahun dan berasakan seolah-olah mereka tidak ada nilai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:11 AM