SHAPIAN (dua dari kiri) menyerahkan jersi pasukan kepada pemain.
SHAPIAN (dua dari kiri) menyerahkan jersi pasukan kepada pemain.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Tiga pemain skuad elit Terengganu menjadi taruhan di Kejohanan Liga Super Thailand yang berlangsung selama empat bulan bermula pada Ogos depan.

Zulkifli Abdul Razak, Fadzli Roslan dan Safaruddin Abu Bakar akan berkelana di negara Gajah Putih dan ditemani sembilan pemain skuad Sukan Malaysia (SUKMA) 2016.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata, pasukan negeri itu akan bergabung dengan sebuah kelab tempatan Thailand yang dikenali Nakhon Pathom dan bermain atas nama gabungan ‘Nakhon Pathom-Terengganu’.

Menurutnya, sekurang-kurangnya enam pemain Terengganu akan turun mewakili Nakhon Pathom-Terengganu pada setiap perlawanan yang disertai 10 pasukan di liga berkenaan.

“Skuad Terengganu yang dibimbing bekas pemain kebangsaan Mohd Futra Abd Ghani itu berhasrat mengharumkan nama pasukan dengan memenangi emas melalui acara yang dipertandingkan dalam temasya itu.

“Kami mendapat tajaan penuh daripada kerajaan negeri sebanyak RM200,000 dan ini menyebabkan pemain lebih bersemangat bagi menghadapi kejohanan berkenaan.

“Ini peluang memberi pendedahan kepada pemain dengan mencari pengalaman beraksi dalam liga luar negara memandangkan tiada kejohanan liga seumpama itu di negara kita,” katanya.

Menurutnya, pasukan berkenaan dijangka berlepas ke Bangkok untuk menyertai kejohanan itu seminggu selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Katanya, penyertaan itu juga dibuat sebagai persiapan untuk menghadapi SUKMA Ke-18 di Sarawak tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:05 AM