ROHANI Che Embi, 72, melihat foto anak saudaranya Allahyarham Muhammad Firdaus Abdul Rahim iaitu Pembantu Juruterbang MH17, ketika di temuramah di kediamannya di Teluk Intan, Perak. FOTO Bernama
ROHANI Che Embi, 72, melihat foto anak saudaranya Allahyarham Muhammad Firdaus Abdul Rahim iaitu Pembantu Juruterbang MH17, ketika di temuramah di kediamannya di Teluk Intan, Perak. FOTO Bernama


Teluk Intan: Kurang 48 jam lagi genap dua tahun tragedi Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17.

Namun bagi waris kenangan bersama mangsa yang terkorban sedikit pun tidak pudar.

Begitu juga dengan Rohani Che Embi, 72, ibu saudara pembantu juruterbang, Muhd Firdaus Abdul Rahim, seorang daripada 298 mangsa yang terbunuh dalam nahas itu.

Rohani ketika ditemui di kediamannya, di sini, berkata beliau sangat rapat dengan Allahyarham kerana pernah menjaganya sewaktu kecil sehinggalah keluarga arwah berpindah ke Ipoh.

Lebih mesra membahasakan dirinya sebagai makcik Ani, warga emas itu berkata memori terhadap anak saudaranya yang dipanggil dengan nama manja ‘Jaja’ oleh keluarga masih dirasai, lebih-lebih lagi ketika umat Islam menyambut Aidilfitri minggu lalu.

“Jaja adalah anak bongsu daripada lima beradik. Arwah tinggal di rumah ibu saya (neneknya) di Padang Tembak, sejak kecil sehingga keluarganya pindah ke Ipoh selepas Muhd Firdaus melangkah ke sekolah menengah.

“Masa kecil dulu, Muhd Firdaus adalah seorang budak yang ceria dan juga alim kerana tidak pernah lupa menunaikan solat dan membaca al-Quran.

“Makcik ada menziarahi pusara arwah di Tanah Perkuburan Islam Daerah Hilir Perak di Jalan Merbuk sebelum puasa dan raya baru-baru ini.

“Keluarga Muhd Firdaus pasti singgah rumah ini selepas pergi menziarahi kubur,” katanya.

Pesawat penerbangan MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di Timur Ukraine, 17 Julai 2014.

Lebih menyentuh hati Rohani, sebulan sebelum terlibat dalam nahas berkenaan Allahyarham telah meminta beliau untuk memasak tiga kilogram rendang dendeng dan mengedarkannya kepada orang miskin di sekitar kawasan Taman Padang Tembak.

“Saya fikir mungkin dia merasakan ada sesuatu yang terjadi, namun tidak terlintas di fikiran saya pada masa itu perkara seperti ini boleh berlaku,” katanya yang telah memenuhi permintaan Allahyarham.

Rohani berkata, setiap kali beliau melihat visual pesawat di televisyen, fikirannya pasti akan teringatkan Allahyarham.

“Saya sudah jadi fobia jika diajak naik kapal terbang bila teringatkan apa yang terjadi kepada anak saudara saya itu,” katanya sambil berharap kerajaan dapat mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan bagi keadilan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 11:46 PM